Sarawak bebas anasir gugat PRU14, kata polis

KUCHING: Sarawak masih bebas daripada sebarang anasir untuk menimbulkan kekecohan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Beliau berkata, biarpun begitu, polis masih mengumpul maklumat risikan berkaitan individu atau pertubuhan yang berpotensi mengancam keselamatan atau menimbulkan suasana huru-hara di negeri ini pada PRU14 nanti.

“Setakat ini, di Sarawak kita tidak ada (individu atau pertubuhan) berpotensi untuk mengancam keselamatan atau timbulkan suasana huru-hara. Walaupun tidak ada, kita sentiasa mengumpul maklumat risikan untuk mengenal pasti mereka mungkin mempunyai potensi,” katanya selepas menyempurnakan perbarisan peringatan Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Pada majlis tersebut, Dzuraidi turut membaca perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyampaikan sijil penghargaan serta sijil anugerah intergriti kepada 40 penerima terdiri daripada anggota serta kakitangan awam polis negeri.

Mengulas mengenai PRU14, Dzuraidi berkata, polis Sarawak bersiap siaga 100% untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kita turun ke seluruh negeri untuk pastikan pegawai dan anggota kita, termasuk di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan serta siap siaga untuk jalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen pada PRU14 nanti.

“Polis Sarawak sudah bersedia dari semua aspek, termasuk memastikan anggota menjalani latihan lengkap berkaitan ilmu PRU14,” katanya.