SPRM panggil peneroka asal bantu siasatan jual tanah Ijok RM1.18 bilion

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil peneroka asal tanah di mukim Ijok, Selangor, bagi membantu siasatan kes penjualan tanah kira-kira 880 hektar itu pada harga RM1.18 bilion kepada pemaju swasta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, agensi itu mungkin memanggil mereka minggu depan.

Setakat ini, 5 suspek kes itu direman sehingga Rabu depan, katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Mahasiswa/India 1Malaysia di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, hari ini.

Rabu lepas, peneroka asal tanah di mukim Ijok itu berkata, mereka bersedia memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes itu.

Sementara itu, Dzulkifli menyuarakan penghargaan terhadap sokongan mahasiswa dalam kempen memerangi rasuah kerana ia menepati matlamat SPRM untuk membentuk generasi baru yang bencikan rasuah.

“Mereka ini merupakan pemimpin masa depan yang perlu dibentuk untuk menjadi individu berkualiti dan berintegriti tinggi menolak rasuah, seterusnya menjadikan negara bersih daripada gejala itu.”