Syarikat kosmetik Korea tuntut gantirugi dari anak syarikat Felda, kata laporan

PETALING JAYA: Sebuah pengeluar kosmetik Korea Selatan mahu prosiding timbang tara dilaksanakan terhadap Felda Wellness Corporation (FWC), lapor The Korea Times.

Naerok Resources, yang bahan kosmetiknya menggunakan ekstrak kelapa berkultur, dilaporkan menuntut ganti rugi daripada anak syarikat kumpulan Felda itu, selepas FWC didakwa gagal menjalankan kontrak bernilai AS$35 juta (RM136.75 juta), termasuk pembayaran yuran perkhidmatan, pelaburan produk dan perkembangan perniagaan.

“Di samping membangunkan produk menggunakan ekstrak kelapa berkultur, Naerok juga komited melaksanakan rundingan dan perkhidmatan pemasaran untuk FWC dalam melancarkan produknya ke pasaran Korea,” kata pegawai Naerok seperti dipetik akhbar itu.

Sejak ditubuhkan pada 2014, Naerok sudah mengeluarkan pelbagai produk berasaskan ekstrak kelapa berkultur, daripada produk penjagaan kulit sehinggalah kepada suplemen, menurut akhbar itu.