Kajian: 150 kanak-kanak dipaksa jual tubuh setiap tahun

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 150 kanak-kanak dipercayai dipaksa ke industri seks Malaysia setiap tahun, menurut satu kajian.

Kajian itu, Kajian Global mengenai Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak Dalam Pelancongan (SECTT), kanak-kanak biasanya rakyat Malaysia, Indonesia, Thailand dan India yang disimpan di pangsapuri kos rendah di ibu negara dan bukan di rumah-rumah pelacuran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Memetik kajian yang dijalankan Hentikan Ekploitasi Komersial dan Seksual Kanak-kanak (End CSEC), Pengarah Eksekutif ECPAT International, Dorothy Rozga berkata Malaysia dikenalpasti sebagai destinasi pemerdagangan seks wanita dan kanak-kanak dari negara lain.

Dorothy Rozga berkata ada sisi gelap dalam pertumbuhan sektor pelancongan.

“Beberapa faktor yang menyumbang kepada Malaysia menjadi destinasi pesalah seks ini termasuk kedudukannya sebagai titik transit perjalanan (ke United Kingdom, negara Eropah, dan negara Asia Tenggara), kos perjalanan yang lebih murah, prosedur visa yang dipermudahkan dan mudah menyeberangi sempadan,” kata Rozga dalam ucapannya di pelancaran laporan itu di Hotel Novotel Kuala Lumpur.

“Data kemasukan pelancong ke Malaysia sejajar dengan gambaran pelancong salahlaku seks yang kompleks dan berkembang.

“Sepertimana negara-negara lain di Asia Tenggara, aliran keluar masuk pelancong di Malaysia sedang berkembang.

“Bukti konkrit SECTT di Malaysia ialah Richard Huckle – seorang pelancong muda yang didapati menyasarkan, mempersiapkan dan mengeksploitasi 200 kanak-kanak Malaysia secara seksual, termasuk bayi.”

Melancong mencari kanak-kanak

Rozga berkata jenayah ini menjadi sisi gelap pertumbuhan sektor pelancongan.

Walaupun industri pelancongan hari ini membantu mengangkat jutaan rakyat daripada kemiskinan, beliau memberi amaran terdapat pelancong yang mencari peluang untuk mengeksploitasi kanak-kanak.

“Kita bercakap tentang pesalahlaku yang merasakan diri mereka tidak akan diketahui kerana berada jauh dari rumah, masyarakat negara, rantau atau benua asal.

“Mereka rasa ketanpanamaan itu melindungi mereka dan mereka tidak akan ditangkap.

“Pesalahlaku boleh melancong dalam negara atau keluar negara. Ia mungkin seorang ahli perniagaan tempatan dari George Town mengunjungi Kuala Lumpur, yang membayar ‘khidmat’ seorang kanak-kanak yang digunakan dalam situasi pelacuran,” katanya.

Beliau menambah pihaknya tidak mempunyai bilangan mangsa yang tepat walaupun mereka memiliki bukti anekdot yang menunjukkan ribuan kanak-kanak di rantau ini menjadi mangsa.

Oleh itu, Rozga berkata lebih banyak pelaburan harus disalurkan kepada penyelidikan dan pengumpulan data mengenai eksploitasi kanak-kanak dalam sektor pelancongan.

Beliau berkata pelaburan itu penting kerana lebih ramai kanak-kanak berisiko menjadi mangsa pelancong.

“Jenayah ini boleh berkembang di negara yang menjadi medan pertembungan antara pelancongan dan kemiskinan, bebas daripada undang-undang, budaya yang menerima penderaan, undang-undang yang lemah dan pihak berkuasa yang tidak mempunyai sumber mencukupi.

“Oleh itu, kita diseru supaya melabur dalam penyelidikan dan pengumpulan data. Pelaburan ini penting untuk membongkar jenayah dahsyat ini.

“Kita tidak dapat menguruskan dan menyelesaikan keadaan ini secara berkesan jika kita tidak memahaminya. Sumber juga sukar digemblengkan untuk menangani masalah yang tidak dinyatakan kuantitinya atau disampaikan dengan betul,” katanya.

Kelemahan sistem kehakiman

Dilaporkan kebanyakan aduan ekploitasi kanak-kanak tidak membawa kepada pendakwaan yang berjaya kerana kelemahan dalam sistem pengadilan jenayah.

“Mengapa saya katakan sukar untuk mendapatkan data? Kita perlu sedar perkara-perkara ini berlaku secara tersembunyi,” kata Rozga.

“Soalan saya ialah, mengapa banyak negara cekap menyimpan data pelancong tetapi tidak mempunyai bilangan tepat kanak-kanak yang dieksploitasi oleh pelancong?

“Ini yang kita perlu ubah.”

Antara trend yang ditemui dalam penyelidikan yang dipetik Rozga untuk keadaan di Malaysia termasuk pesalahlaku seks yang melancong dalam negara sendiri.

Malaysia juga menjadi pengeksport pesalahlaku seks kanak-kanak ke negara-negara jiran dan pelancong salahlaku seks mencari kanak-kanak dengan bertopengkan kerja sukarelawan atau bekerja di institusi seperti sekolah, gereja, rumah perlindungan, rumah anak yatim, kelab sukan dan NGO.

Satu lagi trend ialah perkembangan internet.

“Teknologi digital meningkatkan peluang buat pesalahlaku.

“Teknologi memudahkan mereka yang cuba mengapa-apakan kanak-kanak menghasilkan, berkongsi dan menyembunyikan bahan, mencari pesalahlaku lain, mengelak dari tangkapan dan melindungi hasil kegiatan mereka melalui Dark Web atau mata wang kripto.

“Salah satu bukti ialah laporan terbaharu yang meletakkan Malaysia sebagai negara yang mencatatkan bilangan alamat IP tertinggi dalam muatnaik dan muatturun bahan penderaan seks kanak-kanak di Asia Tenggara,” katanya.

Hotel perlu waspada

Rozga menyeru sektor swasta mengekang pemerdagangan kanak-kanak, dengan memberi contoh kakitangan syarikat penerbangan antarabangsa yang dilatih untuk mengenal pasti pesalahlaku seks dan juga Hotel Novotel (sebahagian dari kumpulan AccorHotel) yang melatih lebih 100,000 kakitangan untuk mengesan kanak-kanak dalam bahaya atau sedang didagangkan.

“Bayangkan jika sektor swasta di Malaysia boleh digembelangkan sepenuhnya seperti ini. Kerajaan dan swasta boleh bekerjasama untuk melindungi kanak-kanak Malaysia,” katanya.

ECPAT International ialah rangkaian pertubuhan dunia yang mahu menghentikan eksplotasi kanak-kanak, dengan tumpuan kepada pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan seks, pelacuran, pornografi dan ekploitasi seksual kanak-kanak dalam sektor pelancongan.