Kerana main piano, ulama Lubnan dikutuk golongan konservatif

BEIRUT: Seorang ulama Lubnan dibuang daripada pusat pengajian agamanya selepas videonya bermain piano menerima kritikan golongan konservatif yang merasakan perbuatan itu tidak wajar bagi orang agama seperti beliau.

Sayed al-Husseini, seorang ulama aliran Syiah yang berusia 38, memuat naik video itu bagi mencabar imej tradisional pendakwah.

Tetapi perbuatan seorang lelaki yang memakai serban dan jubah, walaupun hanya memainkan lagu klasik yang sopan, adalah perbuatan keterlaluan bagi sesetengah orang.

“Saya mahu menunjukkan, pengajian agama tidak patut diasingkan dari dunia, atau daripada orang ramai atau daripada pengajian lain,” kata Husseini kepada Reuters, sambil mengatakan sekolah al-Thaqalain di Beirut itu membuangnya dan membatalkan gajinya. Sekolah itu bagaimanapun enggan memberi komen.

Ayatollah Ali Sistani, pemimpin Syiah tertinggi di Iraq yang sangat dihormati di Lebanon, berkata piano dan muzik klasik tidak dilarang mahupun dihalang dalam Islam.

Tetapi Husseini menerima kritikan di Internet dan pernah mendengar sesetengah pemimpin agama menganggap videonya sebagai satu “penghinaan kepada (golongan) serban”.

“Saya suka muzik dan seni. Tetapi mustahil untuk saya menerima imej pendakwah berserban bermain piano di hadapan orang ramai. Serban itu suci dan saya berhak mengkritik,” kata pengguna media sosial, jouj_lebiiiiii, di Twitter.

Husseini memuat naik video itu pada awal Mac di akaun media sosial miliknya dan dalam masa sejam, video itu menerima lebih 10,000 tontonan.

Di samping muzik, Husseini juga kerap memuat naik puisi cinta yang ditulisnya. Beliau sebelum ini ada menulis lirik untuk lagu-lagu Hizbullah, memuji kumpulan yang disokong Iran itu dan juga pejuangnya.

“Orang ramai menganggap pendakwah sebagai suci dan yang lagi pelik, pendakwan adalah seperti orang yang tidak boleh dikritik mahupun melakukan kesalahan,” kata Husseini yang tinggal bersama kucingnya di Caesar, Dahieh, pinggir bandar selatan Beirut.

Husseini berkata beliau tidak bersetuju dengan imej tradisional bagi pendakwah Islam.

“Lelaki warak dipaksa berpura-pura berkelakuan tertentu. Mereka bercakap dengan perlahan. Apabila mereka bergerak, mereka bergerak seolah-olah sedang nazak, untuk menunjukkan mereka warak,” katanya.

“Ini yang orang ramai mahukan.”