Laporan Unicef: Kerajaan sedang tangani masalah kanak-kanak miskin bandar

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengambil langkah untuk menangani masalah pembesaran terbantut di kalangan kanak-kanak miskin bandar yang dibangkitkan dalam kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, antara langkah itu ialah menggalakkan pemberian susu ibu kepada bayi sehingga 6 bulan seperti dicadangkan Unicef.

“Ini sudah menjadi salah satu dasar kerajaan.

“Keduanya ialah kebolehdapatan makanan yang mempunyai zat tinggi. Ianya telah dipengerusikan timbalan perdana menteri melalui jawatankuasa untuk membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Charles Santiago (DAP-Klang) adakah kerajaan boleh menghantar pegawai atau pasukan berkaitan ke kawasan perumahan kos rendah untuk melakukan pemeriksaan ke atas kanak-kanak.

Subramaniam berkata, pihaknya juga sedang mengkaji secara menyeluruh cara rakyat boleh mendapat makanan berkhasiat.

“Untuk memastikan kita tak makan makanan yang boleh dikatakan tiada nutrien,” katanya.

Kaji selidik Unicef yang dikeluarkan akhir Februari lalu itu mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di Kuala Lumpur mengalami pertumbuhan terbantut, manakala 1 dalam 10 mengalami kurang berat badan.

Menurut kaji selidik bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” itu, masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah 2 kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur.

Masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 13 Mac lalu mempertikaikan kaji selidik Unicef itu yang mengaitkan masalah kekurangan zat makanan dan pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur dengan Ghana.

“Kita juga ada kajian dan tak ada setakat ini di sekolah yang menunjukkan budak-budak sampai tak mampu (nak makan) dan tak ada kes lagi dalam laporan daripada guru menunjukkan budak tak makan kat sekolah,” katanya.

Terlalu gemuk, kurus kering meningkat di kalangan kanak-kanak Malaysia, kata Unicef