Lebih 20 peneroka Ijok beri keterangan pada SPRM

KUALA SELANGOR: Seramai 21 peneroka tanah di mukim Ijok hari ini memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di kawasan itu pada harga RM1.18 bilion kepada pemaju swasta.

Wakil mereka, Mohd Fadzil Ibrahim berkata semua peneroka itu memberi keterangan selama 3 jam bermula 3.30 petang tadi di sebuah hotel, selepas menghadiri taklimat dan penerangan berhubung kes berkenaan.

“Keterangan itu diambil bagi membantu siasatan kes tanah Ijok tersebut dan peneroka memberi kerjasama yang baik dengan memberi segala maklumat yang diperlukan kepada SPRM.

“Kita berharap SPRM dapat melakukan siasatan dengan telus supaya kemelut isu tanah peneroka dapat dirungkaikan dan diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.

Difahamkan, seramai 20 peneroka lagi dijangka hadir memberi keterangan kepada pegawai SPRM di hotel yang sama pada 9 pagi esok.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan 6 individu termasuk 2 yang bergelar “Datuk” bagi membantu siasatan isu penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok pada 20 Mac lalu.

Bagaimanapun, 4 lelaki termasuk seorang bergelar “Datuk” dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini dengan ikat jamin RM25,000 oleh 2 penjamin.

Kes tanah Ijok: 4 bebas, 1 disambung reman SPRM

Tanah Ijok: Azmin beritahu KP SPRM jangan ugut kerajaan negeri