Pelajar bebas sertai kempen politik di luar kampus, kata menteri

PETALING JAYA: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bebas menyertai kempen politik di luar kampus menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, mereka diberi kelonggaran berpolitik jika berminat dan ini berbeza dengan kepimpinan sebelum ini yang menyekat penglibatan mereka dalam politik negara.

“Mereka berhak berpolitik di luar kawasan kampus. Jika dalam kampus itu tertakluk kepada peraturan universiti. Jika didapati mereka berkempen juga dalam kampus sehingga melanggar peraturan, itu bawah bidang kuasa universiti untuk memutuskan tindakan.

“Saya juga tidak faham kepimpinan terdahulu jelas melarang keras penglibatan pelajar berpolitik, tetapi sekarang beliau pula amat menyokong mereka (pelajar) aktif berpolitik,” katanya selepas merasmikan “Taylor’s Curriculum Framework” semalam.

Idris mengulas had atau larangan penglibatan penuntut IPT menyertai kempen politik menjelang PRU14.

Katanya, penglibatan penuntut IPT dalam aktiviti politik tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pindaan 2012 yang membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, badan atau kumpulan, termasuk parti politik ketika di luar kampus.

Pelajar berarak ke Parlimen desak AUKU dihapuskan