KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak mempengaruhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau mencadangkan sebarang perubahan ke atas laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.
“Kerajaan tidak mengganggu atau mempengaruhi SPR, bahkan sentiasa hormati keputusan dilakukan SPR untuk kebaikan semua.
“Kerajaan sudah mengkaji syor persempadanan tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat berkaitan persempadanan ini.
“Hal ini kerana ia dilakukan sepenuhnya berdasarkan dan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membentangkan usul mengenai laporan kajian semula persempadanan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana menteri berkata, SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 kawasan pilihan raya, iaitu Kedah (1), Perak (2), Selangor (5), Negeri Sembilan (1), Melaka (1) dan Johor (2).
Beliau berkata, syor kajian semula persempadanan itu merangkumi Semenanjung Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang mempunyai keluasan kira-kira 132,000km persegi.
“Kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada 2003, ia digunakan dalam 3 siri pilihan raya umumm iaitu PRU11, PRU12 dan PRU13.”
Katanya, kajian semula persempadanan itu mengguna pakai daftar pemilih diwartakan pada 13 Mei 2016 yang terdiri daripada 11,379,352 pengundi berdaftar.
“Bilangan pemilih berdaftar bagi neger-negeri Tanah Melayu meningkat sebanyak 36% atau kira-kira 3 juta orang.”