Tian Chua: Persempadanan semula wujudkan kerusi ‘super’ Cina dan Melayu di KL

Tian Chua berkata persempadanan pilihan raya dibuat berdasarkan bangsa adalah tidak tepat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Tian Chua hari ini memberi amaran cadangan persempadanan semula yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan mewujudkan kerusi “super Cina” dan “super Melayu” di Kuala Lumpur jika ia diluluskan, manakala pengundi India akan dipinggirkan.

Beliau berkata secara tradisinya, pengundi India berada di hampir 11 kawasan di ibu negara.

“Tetapi sekarang, contohnya, pengundi India akan ditempatkan di Segambut di mana kebanyakan pengundi Cina berada di sana, dan kerusi itu akan dimenangi DAP.

“Pengundi India yang mengundi Barisan Nasional (BN) tidak mampu memberi impak. Suara mereka akan disenyapkan,” katanya.

Naib presiden PKR berkata dengan persempadanan semula pilihan raya di Kuala Lumpur, orang Cina akan dipindahkan ke kubu kuat DAP sementara orang Melayu akan dikumpulkan dalam kawasan pilihan raya yang dipegang PKR.

“Sempadan dibahagikan berdasarkan bangsa. Ia tidak betul,” katanya.

Kerusi PKR terletak di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Batu. BN memegang 2 kerusi Parlimen di Setiawangsa dan Titiwangsa. Yang lain pula dipegang DAP.

“Ia sangat tidak adil dan memberikan kelebihan kepada BN,” kata Tian Chua merujuk kepada pengundi Melayu yang akan dikumpulkan di kawasan pilihan raya yang dipegang PKR.

Sebagai contoh, beliau berkata pengundi Bukit Aman berpindah ke Lembah Pantai dan ini mengakibatkan kemasukan undi pos ke kawasan itu.

Pengundi Cina di kubu kuat DAP

Tian Chua berkata pengundi Cina di kawasannya, Batu juga akan dipindahkan ke Kepong.

“Pengundi Cina Lembah Pantai akan dipindahkan ke Seputeh manakala pengundi Cina dari Bandar Tun Razak dipindahkan ke Cheras,” katanya.

Sementara itu, pengundi Cina dari Titiwangsa akan dipindahkan ke Segambut.

Secara tradisinya, Kepong, Cheras, Seputeh dan Segambut merupakan kubu kuat DAP.

“Dengan pengaturan ini, suara kaum India akan menjadi tidak relevan, terutama yang diletakkan di kawasan DAP,” kata Tian Chua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan usul mengenai kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Dewan Rakyat, walaupun ahli Parlimen pembangkang menyertai ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar untuk membantah usul itu dibentangkan.

Penunjuk perasaan berkata ada satu tindakan undang-undang yang belum selesai serta kesilapan prosedur di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya.

Najib bentang usul persempadanan tanpa hirau protes, 10 kerusi KL terjejas