Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan, boikot undi blok

KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat hari ini bagi memboikot undi belah bahagi berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang diputuskan Timbalan Speaker, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Pada mulanya, ahli Parlimen pembangkang yang meminta undi belah bahagi untuk memutuskan usul berkaitan pelepasan Akta GST 2014.

Seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kemudiannya menangguhkan prosiding untuk makan tengah hari kerana ia diluluskan pada 1.02 tengah hari dan undi blok boleh diteruskan selepas itu.

Ketika itu, Dewan Rakyat baru selesai membahaskan usul yang dibawakan menteri kewangan, iaitu Akta GST 2014 untuk dijadikan kertas statut.

Anthony Loke (Seremban-DAP) yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ismail dan Kiandee, segera mengajak ahli Parlimen pembangkang keluar dewan.

“Oleh kerana belah bahagi disalahgunakan, maka kami boikot,” kata Loke.

Selepas sidang bersambung pada 2.30 petang, kebanyakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang muncul di dalam Dewan Rakyat.

Ketika itu, ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan undi belah bahagi.

Ketika ahli Parlimen pembangkang meninggalkan dewan, wakil rakyat BN menggelar mereka pengecut.

Cadangan Zahid disokong lebih 15 ahli Parlimen BN.

“Oleh kerana lebih daripada 15 orang bangun untuk belah bahagi, maka mengikut Peraturan Mesyuarat 46(4), saya memerintahkan supaya suatu belah bahagi diadakan sekarang,” kata Ismail.

Sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan undi belah bahagi yang menyaksikan 101 ahli Parlimen BN bersetuju menjadikan Akta GST 2014 kertas statut, tanpa sebarang bantahan.

Ia bertujuan membolehkan kerajaan melaksanakan pelepasan GST yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018, Oktober lalu, termasuk pengecualian cukai untuk perkhidmatan dan pengurusan penyenggaraan rumah berstrata yang dibekalkan pemaju dan semua bahan bacaan termasuk majalah, komik, jurnal dan terbitan berkala.

Sementara itu, Loke pada sidang media di luar Dewan Rakyat berkata, pembangkang mencadangkan undi belah bahagi kerana mendapati wakil rakyat BN tidak ramai dalam dewan dan mahu menyingkirkan usul berkaitan GST itu.

“Speaker sepatutnya memutuskan undi belah bahagi ketika itu, tetapi beliau tangguh ke 2.30 petang. BN kemudian memanggil semua ahli Parlimen mereka balik, termasuk menteri dan timbalan perdana menteri.

“Ini kali pertama timbalan perdana menteri meminta undi blok diadakan dan kami keluar dewan kerana merasakan proses undian itu disalahgunakan.

“Kami termasuk PAS akhirnya meninggalkan dewan.”

Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) berkata, boikot itu bertujuan memberi pengajaran kepada BN yang ponteng sidang Dewan Rakyat.

“Kami mahu ajar ahli Parlimen, timbalan menteri dan menteri jangan ponteng sidang Parlimen.

“Ini adalah pengajaran yang mereka boleh pelajari hari ini, jangan ambil mudah Parlimen. Ia adalah tanggungjawab mereka untuk hadir ke Parlimen.”