Jawatankuasa Penurunan Kuasa sahkan Sarawak ada hak pengagihan gas

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak hari ini menekankan sekali lagi kerajaan negeri Sarawak sememangnya mempunyai kuasa untuk mengagihkan gas di negeri berkenaan di bawah Ordinan Pengedaran Gas 2016.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan jawatankuasa itu, selepas bermesyuarat di Bangunan Parlimen hari ini, perkara itu seterusnya akan dibawa ke perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bagi tujuan pelaksanaan Ordinan Pengedaran Gas 2016.

Mesyuarat kali ke-2 itu dipengerusikan bersama oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Turut hadir Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah.

Menurut kenyataan itu, antara isu lain yang dibincangkan adalah pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak serta pemberian semula kuasa mengenai elektrik dan pengagihan gas kepada Sabah.

Ia berkata semua perkara yang dibincangkan akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk mendapatkan keputusan dasar.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Nancy berkata pelaksanaan Penurunan Kuasa antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sarawak sudahpun bermula dengan kebanyakan 13 perkara administratif yang dipersetujui sebelum ini, berjaya dilaksanakan.

“Antaranya ialah pemberian tauliah mengikut Kanun Tatacara Jenayah kepada para pegawai undang-Undang negeri oleh pendakwa raya untuk membuat pendakwaan bagi kesalahan mengikut ordinan negeri daripada peringkat seseorang itu dikenakan pertuduhan di mahkamah rendah, hinggalah ke peringkat rayuan.

Selain itu, beliau berkata penambahan 100 jawatan baharu dengan pengisian sepenuhnya dalam Jabatan Imigresen Sarawak bagi menambah baik fungsi penguatkuasaan di Sarawak juga dilaksanakan sepenuhnya.

Perkara lain termasuk isu Jabatan Kebajikan, yang kini berada di peringkat akhir perbincangan, katanya.