‘Bapa ayam’ WeChat dipenjara, disebat terlibat aktiviti pelacuran

PETALING JAYA: Dua “bapa ayam” termasuk seorang bakal doktor masing-masing dihukum penjara 10 tahun dengan 1 sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan yang dikendalikan menerusi aplikasi WeChat.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap siswazah perubatan sebuah universiti di Mesir, Khairul Azzuar Yusoff dan pekerja hotel, Mohyuddin Ahmad Fajarudin.

Mahkamah memerintahkan Khairul Azzuar, 30, dan Mohyuddin, 24, menjalani hukuman penjara itu selepas selesai menjalani hukuman penjara 14 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu (23 Mac).

Fadzlin Suraya turut menasihati kedua-dua tertuduh supaya menjadi insan yang berguna selain mengharapkan hukuman yang diberikan dapat memberikan keinsafan kepada mereka.

“Masih belum terlambat untuk menjalani kehidupan yang baharu selepas ini, jadilah insan yang berguna untuk masyarakat,” kata Fadzlin Suraya.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Subang Jaya, Januari tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 372(1)(f) dan Seksyen 372 A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Sementara itu di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam, Mohyuddin dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tangkapnya pada 7 Feb 2017 dan 2 sebatan selepas mengaku bersalah atas 2 pertuduhan hidup hasil daripada aktiviti persundalan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria memohon hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh dengan alasan tindakan keji kedua-duanya yang hidup hasil daripada aktiviti persundalan itu bertentangan dengan moral dan agama.

“Hukuman yang bakal dikenakan ini juga dapat memberi mesej kepada masyarakat bahawa tindakan mempromosikan seks menerusi media sosial adalah salah sama sekali dan bakal dikenakan hukuman yang berat,” katanya.

Rozaliana berkata meskipun mangsa dalam kes ini melakukan perbuatan itu secara sukarela, sekiranya tertuduh tidak memberikan peluang tersebut, aktiviti tidak bermoral berkenaan mungkin dapat dibendung.

Peguam Zulaikha Fardi yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman penjara dan sebatan yang paling minimum serta berjalan serentak dengan hukuman yang sedang berjalan.

“Ini kerana, kedua-dua tertuduh adalah pesalah muda dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau malah mereka telah insaf dengan perbuatan yang dilakukan dan sekiranya hukuman penjara tersebut berjalan secara berasingan, masa muda mereka mungkin akan disia-siakan begitu sahaja,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai polis menyamar sebagai pelanggan menerusi aplikasi WeChat yang dikendalikan kedua-dua tertuduh menggunakan nama samaran Encik Nakal (Khairul Azzuar) dan Santiago (Mohyuddin) yang mengendalikan aktiviti pelacuran yang bergiat aktif sejak 2 tahun lalu.

Bertindak atas maklumat yang telah diberikan satu serbuan telah dilakukan yang menghasilkan rampasan dua unit telefon pintar yang digunakan untuk aktiviti tersebut.

Berdepan 54 tuduhan lacur wanita, 2 pemuda nangis di mahkamah