Selangor hentikan doa anti-Syiah dalam khutbah Jumaat

PETALING JAYA: Beberapa baris doa dalam khutbah Jumaat yang mengecam aliran Islam Syiah sebagai sesat sudah tidak lagi dibacakan di masjid-masjid seluruh Selangor sejak beberapa minggu lepas.

Pemeriksaan mendapati baris dalam bahagian kedua khutbah Jumaat, yang antara lain berdoa supaya memastikan umat Islam kekal dalam aliran “Sunnah wal Jamaah” di samping terhindar daripada “ajaran sesat” seperti Qadiani dan Syiah, tidak lagi merupakan sebahagian daripada teks khutbah rasmi kedua sejak Februari.

“Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman dan pegangan kami kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah, terimalah amalan soleh kami, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, satukanlah hati-hati kami, kurniakanlah kami rezeki yang luas lagi barakah, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, lindungilah kami daripada bala bencana dan peliharalah kami daripada ajaran yang terkeluar daripada Islam seperti Qadyani dan ajaran sesat seperti Syiah, serta ajaran-ajaran lain yang difatwakan menyeleweng dari ajaran Islam atau bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” menurut petikan doa itu yang sudah tidak dibacakan.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membayangkan perubahan teks khutbah itu tidak ada kena mengena dengan pendiriannya, sebaliknya berkata ia lebih bertujuan tidak melambatkan waktu solat Jumaat.

Ketua Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim memberitahu FMT, jawatankuasa khutbah telah berbincang dan membuat beberapa pindaan pada teks khutbah kedua, memandangkan waktu solat semakin lewat pada masa ini.

“Namun begitu, jawatankuasa khutbah akan setiasa peka dan prihatin dengan keadaan dan isu semasa serta akan meminda khutbah Jumaat selaras dengan waktu solat dan bersedia untuk memasukkan semula doa atau apa-apa teks yang bersesuaian,” kata Haris.

Mazhab Syiah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan. Aliran itu yang merupakan kedua besar di dunia Islam menjadi amalan majoriti penganut Islam di beberapa negara Timur Tengah seperti Iraq, Iran, Kuwait dan Bahrain, di samping minoriti Islam termasuk di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Sementara itu, exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Ahmad Yunus Hairi berkata Jais berhak mengubah teks khutbah kedua itu bagi kemudahan untuk menunaikan solat Jumaat.

Katanya, perubahan teks itu juga disokong agar solat Jumaat tidak lewat dan dilakukan secara terkejar-kejar.

“Kalau orang solat Jumaat dah lewat, dah kejar, kita sediakan teks khutbah yang berpadanan,” katanya kepada FMT.