Kit Siang: DAP tak akan sokong bubar askar Melayu

Lim bersama Kolonel (B) Mislan Saiman, bekas pegawai RAMD di satu acara DAP di Simpang Renggam, Johor.

PETALING JAYA: Ketua Ahli Parlimen Lim Kit Siang menafikan dakwaan Rejimen Askar Melayu Di-Raja (RAMD) mungkin akan dibubarkan jika Pakatan Harapan (PH) menang mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata DAP sama sekali tidak akan menyokong langkah itu dan rejimen itu akan mencapai tahap lebih tinggi sebagai pasukan pertahanan ulung jika PH mentadbir negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba memancing undi polis dan tentera apabila mendakwa pihak tertentu nak mencadangkan rejimen itu dibubarkan sebab tak sssuai dengan konsep “Malaysian Malaysia”.

“Dia beri amaran angkatan tentera dan polis akan dikecilkan kerana pihak satu lagi sebut perkhidmatan awam terlalu besar saiznya,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah menasihatkan Najib supaya meminta maaf atas “berita palsu” itu.

Pada Jumaat, Najib di satu majlis makan malam bersama tentera dan polis di Kuala Lumpur mengajak hadirin memikirkan implikasi daripada kepimpinan politik yang tidak memahami negara.

“Sebagai contoh, kalaulah sudah disebut-sebut bahawa penjawat awam terlalu besar saiznya, 1.62 juta, sehingga ada kertas kerja yang dibentangkan oleh Penang Institute mencadangkan saiz perkhidmatan awam yang sepatutnya ialah 430,000. Apa implikasinya?

“Mungkin polis akan dikurangkan saiznya? Mungkin tentera akan dikurangkan saiznya? Mungkin perkhidmatan pelajaran akan dikurangkan saiznya? Segala-galanya mungkin berlaku kalau sekiranya dasar kerajaan tidak menepati keperluan sebenar.

“Atau pun lebih buruk itu, seandainya ada yang tersirat, yang tidak memahami asal usul sejarah negara kita. Kalau ada pihak, misalnya, nak mencadangkan Rejiman Askar Melayu Di-Raja dibubarkan sebab tak sesuai dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’, apa implikasinya kepada kita semua?

“Saya percaya saya tak perlu jawab perkara ini,” katanya di majlis makan malam rejimental tentera dan polis di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu, Lim menyokong kenyataan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji yang berkata mustahil mana-mana pihak boleh membubarkan RAMD kerana Perlembagaan Persekutuan dan sejarah pasukan itu.

Arshad dalam kenyataan hari ini berkata dia dan para pegawai bersara RAMD “bingung, keliru dan bimbang” akan kata-kata Najib itu.

“Walaupun perdana menteri tidak secara khusus menyebut apa yang dimaksudkan dengan ‘Malaysia Malaysia’, seseorang boleh menganggap beliau merujuk kepada parti-parti pembangkang, terutama DAP kerana DAP penyokong konsep ‘Malaysia Malaysia’ sejak tahun 1970-an,” kata Arshad.

“Rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan dapat melihat DAP sering dimomokkan untuk menakutkan orang Melayu. Sudah terlalu lama politik berdiri atas garis perkauman,” katanya.