Sabah, Sarawak ketinggalan sebab pemimpin tamak, Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Pembangunan di Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding Tanah Melayu disebabkan sikap tamak pemimpin yang mementingkan diri sendiri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata Sabah dan Sarawak dibelit oleh pentadbir yang melakukan kerosakan kerana mahukan duit cepat.

“Mereka nak cari jalan mudah. Tebang pokok, lama-lama botak. Ini bukan caranya. Sabah dan Sarawak banyak hasil, mereka ada potensi untuk maju,” katanya.

Di forum Cabaran Ekonomi Anak Muda yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana malam tadi, Dr Mahathir berkata umum tahu Sabah dan Sarawak akan maju jika segala hasil negeri diurus dengan baik oleh pemimpin yang mengutamakan rakyat.

“Saya yakin kalau ada kerajaan pusat yang perihatin terhadap Sabah dan Sarawak maka segala prasarana dapat dibangunkan. Yang sudah bangun itu bangun lah tapi masih tak mencukupi. Kita nak supaya ada kerajaan yang mewakili rakyat,” katanya.

Namun untuk merealisasikan cita-cita itu, Dr Mahathir berkata PH perlukan sokongan dan mandat daripada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam kerajaan akan datang. Kita perlukan tokoh di Sabah dan Sarawak, bukan yang sayang pada diri tapi sayang pada rakyat,” katanya.