Khairy: E-sukan akan dipertanding dalam Sukma

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang melakukan penyelarasan untuk memastikan aktiviti sukan elektronik (e-sukan) dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma), kata Khairy Jamaluddin.

Menteri belia dan sukan itu berkata, KBS turut meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan unit sukan elektronik bagi melatih lebih ramai atlet e-sukan.

“KBS dan saya meminta MSN untuk pertama kalinya MSN akan menubuhkan unit sukan elektronik dan bekerjasama dengan kesatuan sukan elektronik Malaysia.

“Ia bagi merangka pelan jangka panjang dan pendek untuk latih lebih ramai atlet sukan ini.

“Ia termasuklah penganjuran kejohanan peringkat kebangsaan dan dijangka akan menyertai Sukan Malaysia pada masa akan datang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Disember lalu, Khairy dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang e-sukan.

Ini kerana, katanya, e-sukan mendapat pengiktirafan daripada Majlis Olimpik Asia dan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam Sukan Asia pada 2022.