Nazri dakwa Rafidah punca orang Cina benci BN

Nazri berkata, orang Cina mula tidak suka BN disebabkan dasar pendek akal yang diperkenalkan Rafidah ketika beliau menjadi menteri.

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi menyerang bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz dengan mendakwa “pendek akal” wanita itu menyebabkan masyarakat Cina tidak menyukai Barisan Nasional (BN).

Pada sidang akhbar hari ini, ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, orang Cina mula tidak menyukai BN disebabkan beberapa dasar pendek akal yang diperkenalkan Rafidah ketika menjadi menteri.

“Beberapa tahun lalu, pada sebuah Perhimpunan Agung Umno, dia diserang perwakilan Umno kerana memberi permit import (AP) yang diluluskan kepada syarikat Bumiputera disukainya.”

Nazri mendakwa apabila tiba giliran Rafidah bercakap, beliau berkata perwakilan tidak sepatutnya marah kerana mengambil AP daripada syarikat Cina untuk diberikan kepada syarikat Bumiputera.

“Itu pendek akal. Ia penuh dengan rasisme. Ia tidak baik untuk pembangunan negara. Adakah dia cuba beritahu kita harus memujinya? Saya rasa inilah punca orang Cina mula benci BN.

“Bagaimana anda boleh mewajarkan pemberian AP kepada syarikat Bumiputera dengan mengatakan anda mengambilnya dari orang Cina. Sehingga kini, kita menderita kerana orang Cina masih tidak mempercayai BN disebabkan perkara yang dilakukan menteri seperti Rafidah.”

Nazri mengulas kenyataan Rafidah mendakwanya pendek akal kerana mendakwa kritikan bekas ketua Wanita Umno itu terhadap kerajaan disebabkan dendam peribadinya dengan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan Rafidah melabelkan Nazri tidak berpandangan jauh selepas menteri itu menyelar kritikannya terhadap National Feedlot Corporation (NFC) dan pinjaman bernilai RM248 juta yang ditanggung kerajaan.

Shahrizat yang mengambil alih jawatan Rafidah sebagai ketua Wanita Umno, adalah isteri Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail yang menguruskan NFC dan didakwa pecah amanah hampir RM50 juta, tetapi mahkamah kemudian membebaskannya.

Nazri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbeza kerana beliau menyokong masyarakat Cina dan India melalui program serta pinjaman yang disasarkan.

Beliau berkata, Rafidah gagal memahami isu NFC dengan mendakwa wang itu “disapu” dan ia tidak dikembalikan kepada kerajaan.

“NFC membuat pinjaman RM250 juta dan RM170 juta digunakan sebagai perbelanjaan permulaan, tetapi pinjaman itu dihentikan dan mereka tidak boleh meneruskan perniagaan. Jika mereka dibenar menjalankan perniagaan, mereka boleh membayar balik pinjaman tersebut.”

Oleh itu, beliau berkata, wang itu digunakan untuk perbelanjaan permulaan dan masih ada wang terikat kepada NFC yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta ini tidak bermakna Salleh mengambil wang itu.

“Rafidah cetek dalam pemikirannya dan tidak sepatutnya menjadi menteri selama bertahun-tahun. Saya bangga dengan Rafidah kerana menjadi juara hak wanita, tetapi beliau tidak mempertahankan Shahrizat, yang merupakan isteri Salleh.”

Beliau berkata, Shahrizat tidak sepatutnya menderita kerana tindakan yang didakwa dilakukan suaminya.

“Beliau menderita dan menerima dugaan besar. Dia kehilangan jawatan senator dan dalam Kabinet. Semua wanita perlu menyokong Shahrizat; Saya tidak faham mengapa Rafidah tidak menyokongnya.

“Tetapi, saya faham Rafidah cemburu terhadap Shahrizat kerana beliau kehilangan jawatan dalam Wanita Umno,” katanya.

Nazri: Rais, Rafidah komen isu kapal mewah kerana dendam