Inflasi, bukan ‘kartel’, sebabkan harga barang naik, kata pakar

Kenaikan harga barang dan kaitannya dengan peranan orang tengah belum terbukti, kata seorang pakar.

PETALING JAYA: Seorang pemerhati ekonomi menolak tanggapan yang menuduh manipulasi orang tengah atau “kartel” dan nilai ringgit rendah sebagai punca kenaikan harga dan kos sara hidup.

Nurhisham Hussein berkata tanggapan sebegitu dijadikan hujah untuk menjelaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak sepenuhnya bertanggungjawab malah bukan penyebab kenaikan harga.

Menulis dalam blognya, Nurhisham berkata, walaupun hujah manipulasi orang tengah atau kartel itu agak tersebar luas, beliau mahu melihat buktinya terlebih dahulu kerana data yang ada tidak menyokong anggapan itu.

“Jika ia benar (manipulasi orang tengah), maka keuntungan dalam sektor borong dan runcit sepatutnya bertambah, sebaliknya ia semakin berkurang, terutamanya disebabkan kos upah yang meningkat”, katanya.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kenaikan harga tidak disebabkan oleh GST tetapi oleh perbuatan orang tengah dan “kartel” yang memanipulasi harga untuk keuntungan mereka sendiri.

Zahid yang mempengerusikan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara berkata tindakan “kartel” memanipulasi harga barang menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Zahid mengakui adanya kenaikan kos pengeluaran disebabkan kos import lebih tinggi kerana nilai ringgit agak rendah berbanding dolar AS, tetapi mempersoal kenapa harga barangan tidak turun walaupun nilai ringgit meningkat sekarang.

Nurhisham turut menolak pendapat mengatakan kenaikan harga disebabkan oleh nilai ringgit yang lebih rendah sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan interaksi antara harga dan kadar tukaran, pergerakan kadar tukaran memberi kesan sangat kecil ke atas harga domestik.

“Jika pendapat ini benar, ia bermakna margin keuntungan akan merosot apabila nilai ringgit jatuh, dan kembali ‘normal’ apabila ia menokok.

“Tidak dinafikan adanya kes terpencil yang menyaksikan kesan langsung pergerakan mata wang ke atas harga, tetapi tidak berlaku aliran umum ke arah itu. Selain itu, kadar tukaran tidak relevan sama sekali ke atas harga perkhidmatan domestik,” katanya.

Nurhisyam menyuarakan kebimbangan apabila sentimen ini disuarakan oleh pemimpin utama kerajaan, ia akan mengalih perhatian daripada masalah inflasi yang merupakan penyebab sebenar kenaikan harga.

“Kali terakhir ia dilakukan ialah oleh pemimpin Zimbabwe dan Venezuela yang berhadapan dengan masalah inflasi melampau tetapi meletakkan kesalahan kepada perkara lain.

“Kedua-dua negara itu berhadapan dengan masalah inflasi melampau, tetapi kerajaan lebih suka mencari kambing hitam, bukannya mengatasi punca sebenar kenaikan harga barang,” katanya.

Selain itu, katanya, menangani isu ketidakcekapan pengagihan dan monopoli atau oligopoli mungkin boleh menurunkan harga barang, tetapi akan menjadi penyelesaian jangka pendek semata-mata dan tidak mengubah inflasi yang merupakan penyebab sebenar kenaikan tersebut.