Jabatan Penjara tidak benarkan peguam bertemu Anwar

Jabatan Penjara tidak benarkan peguam bertemu Anwar (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Jabatan Penjara tidak lagi membenarkan peguam Latheefa Koya menemui anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman itu susulan daripada siasatan oleh pihak penjara ke atas penerbitan kenyataan daripada Anwar Sabtu lepas.

Putrajaya mempertikaikan bagaimana kenyataan itu, yang mengandungi kritikan bekas ketua pembangkang tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan dan pembentangan rang undang-undang Anti-Berita Tidak Benar di Dewan Rakyat minggu lalu, dikeluarkan kepada media.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata peraturan penjara melarang Anwar berkomunikasi dengan dunia luar tanpa kebenaran ketua pengarah Jabatan Penjara.

Pengarah Jabatan Penjara Selangor dan Kuala Lumpur Darussalam Budin berkata peraturan penjara menetapkan sebarang pertemuan antara banduan dan peguam adalah bagi urusan berkaitan kes perbicaraan yang melibatkan banduan berkenaan sahaja.

“Seksyen 26 Akta Penjara 1995 menetapkan bahawa semasa menjalani hukuman seseorang banduan walaupun berada di luar penjara dan masih dalam tempoh hukuman masih tertakluk kepada peraturan-peraturan sepertimana berada di dalam penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan liwat melibatkan bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada Februari 2015.

Beliau dijangka dibebaskan pada 8 Jun ini, selepas selesai menjalani 2/3 tempoh hukuman selaras dengan peraturan penjara.