Janganlah seperti Hanipa, pesan Pandikar ketika tutup sidang

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sesi terakhir Dewan Rakyat menjadikan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) contoh Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan tidak berhemah.

Disebab itu beliau mencadangkan satu rang undang-undang khas untuk kesihatan speaker termasuk insuran dan kuasa untuk menyaman seorang wakil rakyat.

“Sepang meminta saya meletakkan jawatan bagi menyelesaikan masalah kesihatan saya. Waktu itu saya tidak beri apa-apa respon.

“Namun, ini jawapan saya dengan serangkap pantun, ‘nampak jelas dalam teropong, biji kelapa terapung-apung, speaker ini keras tempurung, kalau dicabar terus menyorong’,” katanya.

Beliau berharap calon-calon yang menang pada pilihan raya umum ke-14 kelak akan lebih beretika ketika di Parlimen.

Pandikar juga tidak pasti sama ada dia akan dilantik semula sebagai speaker pada penggal akan datang.

“Saya harapkan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak dipilih kelak jangan kecewa, saya juga sedia hadapi kekecewaan jika tidak dicalonkan semula selepas PRU14.

“Manalah tahu, yang menang adalah dari pihak sebelah kiri (pembangkang) nanti akan duduk pula di sebelah kanan (kerajaan),” katanya.

Tambahnya, beliau sendiri ghairah menantikan sama ada akan dicalonkan sebagai calon bertanding atau tidak.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pintu pemilihan calon bertanding sudah tertutup.

“Saya tahu tidak ada peluang untuknya bertanding sebab saya sudah tutup peluang untuk bertanding itu, jadi carilah kerusi lain yang lebih tinggi untuk dikekalkan,” kata Zahid.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah pula memberi jaminan akan mempertimbangkan kedudukan Pandikar sebagai speaker jika Pakatan Harapan menang pilihan raya.

“Pada hari terakhir ini, boleh kita pertimbangkan untuk kekalkan speaker jika kita menang nanti,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/03/05/pandikar-dewan-rakyat-bukan-tempat-ahli-parlimen-lepas-geram/