Lebih baik perbaiki GST daripada mansuh, kata badan pemikir

Ali berkata GST penting kerana sebelum ini kerajaan terlalu bergantung pada pendapatan daripada Petronas.

PETALING JAYA: Kumpulan penganalisis dasar, Ideas, menyeru penambahbaikan pada skim GST daripada memansuhkan cukai itu seperti yang diikrarkan Pakatan Harapan dalam 100 hari pertama selepas memenangi pilihan raya umum.

Ali Salman, pemangku ketua pegawai eksekutif di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, ini berdasarkan kepada kajian institutnya ke atas indeks harga pengguna dalam tempoh 2 tahun sebelum dan 3 tahun selepas cukai itu diperkenalkan.

Kajian mendapati kos sara hidup dalam tempoh tersebut sebenarnya sedang meningkat.

“Tetapi anda tidak boleh salahkan GST sebagai punca. Ada banyak faktor lain seperti kekangan bekalan. Menyalahkan GST sebenarnya tidak realistik,” katanya di forum ekonomi dan perniagaan Pakatan Harapan hari ini.

Ali berkata GST penting buat pengurusan fiskal kerajaan persekutuan. Sebelum ini kerajaan sangat bergantung pada pendapatan daripada Petronas. Apabila harga minyak jatuh, pendapatan berkurangan dan keadaan itu amat menjejaskan kerajaan.

Ali menambah banyak barangan asas berkadar sifar dan oleh itu tidak terkesan dengan GST.

Maka, langkah yang lebih baik ialah memperbaiki GST daripada mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut menyertai forum itu berhujah, GST “sangat teruk” kerana ia dikenakan di setiap peringkat urus niaga di sepanjang rantaian bekalan.

Walaupun perniagaan boleh menuntut rebat, ia masih mengambil banyak masa. Akibatnya, kerajaan perlu menaikkan harga secara menyeluruh, termasuk ke atas barangan yang tidak dikenakan GST, bagi menampung kos. Ini akhirnya memberi beban pada rakyat.

Beliau berkata kerajaan dulu membenarkan import bebas cukai barnagan elektronik dan jam dan orang ramai mula mendirikan kedai-kedai bebas cukai, yang sangat popular dalam kalangan rakyat dan warga asing.

“Ini perniagaan yang sangat lumayan. Orang buka kedai bebas cukai dan meraih keuntungan. Kerajaan mencukai keuntungan itu. Jadi, rakyat dapat barangan murah, perniagaan dapat keuntungan, dan kerajaan terima hasil.

“Ini bentuk cukai yang kita perlu adakan. Bukan GST yang memberi kesan pada semua orang.”

Kerajaan dianggarkan mengaut RM42 bilion daripada GST tahun lalu.