Mah yakin BN pertahan Teluk Intan

TELUK INTAN: Ahli Parlimen Teluk Intan Datuk Seri Mah Siew Keong yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mah yang juga presiden Gerakan berkata pihaknya turut mempunyai keyakinan untuk merampas kembali kerusi DUN Pasir Bedamar yang kini disandang DAP.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan faktor parti komponen BN yang sentiasa bekerja keras dan agresif mendapatkan sokongan lebih ramai pengundi terutama golongan muda di kawasan berkenaan.

“Walaupun bukan senang (mempertahankan kerusi Parlimen) tetapi dengan hasil usaha kerja keras jentera BN sejak 3 tahun kebelakangan ini, kita mempunyai keyakinan untuk menang.

“Saya berharap pengundi di Parlimen Teluk Intan memberi peluang kepada BN memberikan perkhidmatan kepada rakyat di sini supaya Teluk Intan bertambah maju dengan pelbagai projek pembangunan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Mah yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan projek pemasangan lampu jalan LED sepanjang 3km melibatkan kos RM500,000 di Jalan Changkot Jong hari ini.

Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi pada pilihan raya kecil Parlimen tersebut pada 2014 dan beliau turut bertanding kerusi sama pada PRU13 namun tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng, yang memperoleh majoriti 7,313 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Parlimen dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada PRU14, yang besar kemungkinan pada akhir bulan ini atau awal Mei.

Pengumuman pembubaran Parlimen itu disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook rasmi Najib dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.