Bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan bertanding di Jasin
Sumber Amanah berkata, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu ialah calon paling sesuai untuk memberi saingan di kubu kuat BN itu pada PRU14.
“Beliau ialah calon paling sesuai untuk mencabar BN di kubu kuat mereka,” kata sumber itu kepada FMT.
Jasin ialah satu daripada 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada Amanah di Semenanjung oleh Pakatan Harapan.
Kerusi yang pernah diwakili bekas timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba, terdiri daripada 72% pengundi Melayu, 18% Cina dan 10% India.
Pada PRU 2013, wakil BN, Datuk Ahmad Hamzah mengalahkan Rahmat Yusof dari PKR dengan kelebihan 11,763 undi.
Khairuddin pernah ditahan di bawah undang-undang keselamatan pada 2015 atas dakwaan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Khairuddin dan peguamnya, Matthias Chang kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti mengaitkan mereka kepada tuduhan itu.
Kedua-duanya dituduh bersama di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan negara, 1MDB.
Menurut kertas pertuduhan, kedua-duanya berada di pejabat ketua polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan di Paris, Balai Polis Charing Cross di London, Jabatan Peguam Negara Switzerland di Berne, Balai Polis Wai Chan di Hong Kong dan ibu pejabat polis Cantonment di Singapura.
Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan rayuan Khairuddin dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan kerugian kewangan dialami 1MDB.
Mahkamah lebih tinggi memutuskan Najib kebal daripada tuntutan undang-undang atas dakwaan misfeasans dalam jawatan awam kerana beliau bukan penjawat awam.
Usaha Khairuddin ketepi waran wakili Jho Low ditetap 19 Disember
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram