‘Sukar mansuh diskaun Bumiputera untuk rumah RM1 juta ke atas’

Najib berjanji untuk menamatkan diskaun lot Bumiputera bagi hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas ketika melancarkan manifesto BN, Sabtu lalu.

PETALING JAYA: Janji Barisan Nasional (BN) menamatkan diskaun lot Bumiputera bagi hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas sukar dilaksanakan, kata seorang sumber industri.

Ini kerana, kata sumber itu kepada FMT, kerajaan negeri yang membuat keputusan dalam perkara itu.

Sumber itu berkata, memansuhkan diskaun untuk hartanah sedemikian adalah idea baik di atas kertas, tetapi terlalu kabur.

“Katakan anda menghapuskan diskaun Bumiputera, kuota Bumiputera masih ada. Jadi, ia tidak bermakna secara automatik harga rumah RM1 juta ini ditentukan pasaran.

“Ini kerana jika masih ada kuota dan tidak cukup ramai Bumiputera mampu membeli rumah itu, pemaju masih perlu memberi diskaun untuk menarik mereka. Jadi, apa perbezaan langkah ini?”

Sumber itu turut mempersoalkan bagaimana kerajaan pusat pimpinan BN boleh mengatasi kerajaan negeri dalam peruntukan diskaun dan kuota lot Bumiputera kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sementara itu, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyambut baik cadangan BN itu kerana ia sudah lama mencadangkan diskaun Bumiputera untuk hartanah mewah dimansuhkan.

“Bayangkan sebuah rumah mewah bernilai RM3 juta. Diskaun Bumiputera 7% ialah RM210,000. Wang itu boleh digunakan untuk membina 3 unit pangsapuri kos rendah bernilai RM70,000 setiap satu bagi Bumiputera miskin,” kata Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong.

Katanya, pemaju mahu mendapat keuntungan dan memaksa mereka memberi diskaun akan menyebabkan mereka menaikkan harga hartanah lain untuk memenuhi margin keuntungan.

Beliau berkata, ini akan menyebabkan harga rumah lebih tinggi untuk pembeli bukan Bumiputera.

Chang berkata, selain memansuhkan diskaun Bumiputera untuk hartanah mewah, perlu ada had jumlah hartanah yang boleh dibeli Bumiputera pada harga diskaun.

Katanya, jika tiada had, lebih ramai Bumiputera kaya boleh membeli beberapa rumah RM1 juta pada harga diskaun, menghalang Bumiputera lain yang kurang bernasib baik.

“Jika tiada had, Bumiputera lebih kaya boleh membeli beberapa hartanah dengan harga lebih rendah dan menjual semula untuk mengaut keuntungan. Ini sebabnya HBA mencadangkan diskaun Bumiputera dihadkan kepada 2 hartanah setiap orang bagi mengelakkan penyalahgunaan.”

Katanya, diskaun Bumiputera perlu dihadkan kepada kediaman persendirian, bukannya hartanah komersial.

Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 berjanji akan menghapuskan diskaun lot Bumiputera bagi hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas.

Selain pemansuhan diskaun Bumiputera untuk hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas, BN turut berjanji menubuhkan sebuah bank khas untuk memudahkan pinjaman bagi rumah berharga RM300,000 dan ke bawah, serta insentif cukai untuk bank dan pemaju yang menawarkan skim sewa untuk beli.

Manifesto BN: Bank rumah khas, tiada diskaun Bumi bagi rumah RM1 juta