Azmin: Bonus lebih banyak untuk penjawat awam jika PH menang

Azmin Ali (duduk, tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan Jasamu Dikenang 2018 kerajaan Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memberi bayangan penjawat awam akan mendapat bonus lebih banyak berbanding tahun lalu, jika Pakatan Harapan menang di negeri itu pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata, semua kebaikan itu akan dinikmati penjawat awam berdasarkan prestasi kerja dan urus tadbir kerajaan negeri yang baik.

“Bukanlah banyak sangat, bonus 3 bulan gaji. Tetapi itu adil.

“Lepas ini mungkin bonus lebih 3 bulan atas prinsip adil dan berdasarkan merit dan prestasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.

Azmin berkata, kerajaan Selangor tidak seperti kerajaan pusat yang hanya memberi pelbagai janji kepada penjawat awam beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan 7 April lalu.

“Saya beri tahun lepas, bukan seminggu sebelum penamaan calon.

“Dijanjikan naik pangkat gred, tetapi kita harus tunjukkan contoh teladan yang baik,” katanya.

Pada 3 November lalu, Azmin mengumumkan pemberian bonus 3 bulan kepada kakitangan kerajaan negeri itu, di mana bonus 1 bulan diberikan pada Disember lalu dan bonus 2 bulan sudah diberikan Jun 2017.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.