Orang besar 3 parti Melayu bertembung di Pasir Puteh

PETALING JAYA: Pengundi di kerusi Parlimen Pasir Puteh, Kelantan akan menyaksikan pertembungan 3 personaliti dari PAS, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata sumber.

PAS dijangka meletakkan Datuk Dr Nik Zawawi Salleh, setiausaha Majlis Syura parti itu, manakala PH mungkin mencalonkan Pengerusi PPBM Kelantan yang juga Ketua Penerangan parti itu, Datuk Kamarudin Mohd Noor.

BN pula berkemungkinan menurunkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Kerusi itu dipegang PAS sejak 1999.

Pada PRU13, wakil PAS, Datuk Nik Mazian Nik Mohamad mengalahkan calon BN, Tuan Mustaffa Tuan Mat dengan kelebihan 1,888 undi.

Sumber PPBM berkata, Kamarudin yang juga bekas ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, mempunyai kelebihan kali ini, walaupun beliau tewas pada 1990 dan 1999 di kerusi itu.

“Hanya beliau yang berasal dari Pasir Puteh, manakala 2 calon lawan adalah orang luar,” kata sumber itu kepada FMT.

Kamarudin, 70, menyertai PPBM 2 tahun lepas atas sokongannya terhadap bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat dari Kabinet dan Umno pada 2016.

Nik Zawawi berasal dari Besut, Terengganu manakala Asyraf pula dari Tumpat, Kelantan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14