SPR berhak tentukan hari mengundi, kata Hadi

KUANTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak untuk menetapkan hari pengundian pada bila-bila masa, termasuk pada hari Rabu.

Beliau berkata, yang penting ialah rakyat mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemerintah negara dan jentera parti menggerakkan kesedaran pulang mengundi dalam kalangan penyokong.

“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya.

Abdul Hadi bercakap pada program Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Cenderawasih malam tadi, yang turut dihadiri pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Jabar dan timbalannya Andansura Rabu.

Semalam, SPR mengumumkan 9 Mei sebagai hari pengundian yang menimbulkan rasa tidak senang sesetengah pihak kerana jatuh pada hari bekerja dan pertengahan minggu yang disifatkan sebagai cara untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi.

Mengulas keputusan DAP meletakkan 3 calon Melayu di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Abdul Hadi berkata, ia adalah strategi parti tersebut untuk dilihat sebagai bukan cauvinis.

Katanya, tindakan DAP bersetuju bertanding menggunakan logo PKR pada pilihan raya akan datang juga boleh disifatkan bertujuan menarik undi pengundi Melayu.

Ahad lalu, DAP menamakan 3 calon Melayu di Pahang, iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab bertanding di Parlimen Raub, Abu Bakar Lebai Sudin di DUN Pulau Manis dan Young Syefura Othman atau Rara di DUN Ketari.

Abdul Hadi berkata, pengumuman rasmi mengenai calon PAS akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini, dengan parti itu mengetengahkan lebih ramai “calon muda yang bertenaga”.

“Kita ada calon bukan Islam. Ada jumlah dan tempat yang munasabah kita hendak mereka bertanding untuk menang. Kita juga akan memperkenalkan kerajaan teknokrat yang menggabungkan kelompok pakar bagi membangunkan negara,” katanya.

Ditanya jika beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Abdul Hadi berkata, beliau meletakkan perkara itu kepada kehendak parti, namun menambah “Insya-Allah akan bertanding”.

Abdul Hadi mengakui PAS belum mempunyai senarai calon yang akan diketengahkan sebagai perdana menteri jika menang pada PRU14, walaupun tarikh pilihan raya begitu hampir.

“Kita tidak mahu lantik secara angan-angan dan di awangan, PAS mahu berpijak di bumi nyata. Kepada kita ini adalah amanah dan tanggungjawab, lihat prestasi kerja dan sejauh mana menang pilihan raya.

“Hendak jadi perdana menteri mesti menang dalam pilihan raya… ini calon pun tidak tahu lagi,” katanya.