Aktivis dakwa hutang peneroka Felda cecah RM100,000 seorang

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis mendakwa peneroka Felda menanggung purata hutang mencecah RM100,000 kerana tidak dapat membayar pinjaman sementara daripada Felda bagi tujuan penanaman semula.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata kekurangan pekerja untuk membantu peneroka mengutip hasil tanaman mengikut jadual menyebabkan kualiti tidak memuaskan, dan demikian itu pendapatan yang kurang baik.

Akibatnya, Mazlan mendakwa 40% daripada pendapatan peneroka digunakan untuk membayar hutang, dan kemampuan memabayar itu pun bergantung kepada kestabilan harga komoditi.

“Bayangkan peneroka umurnya telah melewati 70 tahun ke atas hutang mereka RM100,000,” kata aktivis itu di taklimat mengenai Felda anjuran Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) hari ini.

Mazlan menjelaskan peneroka sepatutnya mendapat hasil yang tinggi daripada penanaman semula itu dalam tempoh 7 hingga 8 tahun tetapi sasaran itu tidak tercapai.

Menrut Mazlan, harga kelapa sawit hari ini sekitar RM450 satu tan manakala getah RM2.20 1kg, bersamaan pendapatan purata antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan bagi peneroka sawit dan RM300 hingga RM700 sebulan bagi peneroka getah selepas ditolak hutang.

“Jadi hutang bertambah. Dalam tempoh 7-8 tahun hutang mereka lebih kurang RM60,000 hingga RM70,000 sekali bayaran faedah,” katanya.

“Ertinya, matlamat Felda ditubuhkan untuk basmi kemiskinan tidak kesampaian, sedangkan inilah institusi tanah terbesar di dunia, yang mempunyai peneroka dan lebih 2 juta ekar tanah.”

Sebelum ini, Felda dilaporkan akan memperuntukkan RM300 juta dalam tempoh 5 tahun untuk membantu mengurangkan beban hutang ekstrem, atau lebih RM180,000, peneroka dengan agensi itu.

Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata semarai ini 3,238 peneroka didapati mempunyai jumlah hutang ekstrem, dan pihaknya akan mengumpul maklumat untuk mengetahui sama ada kerana keadaan tanah dan cuaca atau gangguan haiwan.

Mazlan pula khuatir masalah hutang akan terus melarat dan percaya isu Felda hanya dapat dipulihkan jika tidak ada campur tangan politik.

“Felda ditadbir orang politik tidak ada masalah tapi jangan ada campur tangan politik,” kata Mazlan, dan menambah kualiti pemimpin yang menentukan jatuh bangun Felda.

Beliau memberi contoh Felda diurus dengan baik ketika ia diterajui Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, yang bukan seorang ahli politik, dan Tan Sri Mohd Nor Yusof, seorang ahli majlis tertinggi Umno.

“Isunya bukan orang politik atau tidak tetapi integriti,” katanya.