PH akan dakwa BN tipu, kata Salleh

Salleh Said Keruak berkata, pembangkang membangkitkan pelbagai tuduhan penipuan untuk menjelaskan mengapa mereka kalah pada PRU13.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini berkata, pembangkang akan mendakwa Barisan Nasional (BN) menipu untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) seperti yang dilakukannya pada 2013.

Menerusi catatan blognya, menteri komunikasi dan multimedia itu menyifatkan dakwaan itu “serangan awal” Pakatan Harapan (PH).

“Mereka tahu mereka tidak akan menang pada PRU13, jadi sebelum PRU, mereka ‘meramalkan’ mereka akan kalah disebabkan penipuan.

“Selepas PRU, mereka membuat pelbagai dakwaan penipuan untuk menjelaskan mengapa mereka kalah.

“Sekarang mereka melakukannya sekali lagi.

“Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi blognya hari ini berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menipu pada PRU14 9 Mei 2018, supaya apabila mereka kalah, mereka dapat mengelakkan diri mendapat malu dengan menyalahkannya kepada penipuan seperti mereka lakukan pada 2013.”

Bendahari agung Umno itu berkata, sebelum PRU 2013, pemimpin Pakatan Rakyat menjelajah ke seluruh negara mengatakan BN akan menipu untuk memenangi PRU.

“Selepas PRU, mereka kata bekalan elektrik terputus di tempat tertentu ketika pengiraan undi, kotak undi tambahan dibawa ke tempat tertentu, puluhan ribu pengundi hantu diterbangkan dari Bangladesh, dan banyak lagi.

“Semua ini kemudian terbukti palsu.

“Malah, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh menafikan puluhan ribu rakyatnya diterbangkan untuk mengundi di Malaysia. Ini memerlukan lebih 100 pesawat sewa untuk tujuan itu.

“Dan tempat di mana mereka dakwa terputusnya bekalan elektrik disahkan tidak pernah menghadapi sebarang gangguan bekalan elektrik.

“Malah, petugas pembangkang di tempat yang mereka dakwa kotak undi tambahan dibawa masuk, menafikan kejadian tersebut.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14