Sg Siput bukan macam zaman ayah kamu, PSM beritahu anak Samy Vellu

Michael Jeyakumar dari PSM berkata pengundi kini tahu peranan wakil rakyat sejak kekalahan BN pada 2008. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar menyambut baik cabaran Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari pada pilihan raya umum akan datang, tetapi mengingatkan anak bekas presiden MIC itu bahawa sikap pengundi kini sudah berubah sejak ayahnya Tun Samy Vellu mengusasai kerusi Parlimen itu.

Samy, orang kuat MIC pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, merupakan ahli Parlimen Sungai Siput selama 8 penggal, iaitu 1973 hingga 2008.

Jeyakumar yang menewaskan Samy pada 2008 dengan menggunakan lambang PKR, berkata pengundi di Sungai Siput sudah berubah sejak 10 tahun lepas dan kini mahukan wakil yang berbeza.

“MIC yang mahu bertanding di Sungai Siput akan mendapati pengundi mempunyai lebih banyak ‘kesedaran’. Rakyat tolak politik wang. Rakyat kini lebih kritikal terhadap ahli politik,” katanya kepada FMT.

“Selepas 10 tahun melihat kepimpinan berbeza, rakyat sudah mula lebih kritikal mengenai fungsi ahli Parlimen dalam pelbagai isu, terutamanya yang menjejaskan orang miskin, seperti perumahan dan gaji minimum.

“Rakyat sudah lihat cara betul seorang ahli Parlimen patut membawa dirinya dan kebanyakan setuju dengan contoh yang diberikan,” kata pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu kepada FMT.

Tambahnya, PSM sudah cuba meletakkan model “ahli Parlimen yang juga seorang rakan”.

“Kami tunjukkan jenis ahli Parlimen yang akan membantu anda memperjuangkan hak dan bekerjasama denan anda memperjuangkan hak ke atas tanah anda, contohnya.

“Pengundi sudah memerhati jenis kepimpinan kita sejak 10 tahun lalu, iaitu rendah diri dan menyasarkan untuk memperkasa rakyat. Mereka lebih suka kami,” kata Jeyakumar.

Vell Paari sebelum ini dilaporkan berminat untuk bertanding di kerusi Sungai Siput. Bagaimanapun, beliau menafikan laporan itu, mengatakan beliau tidak pernah membuat permintaan tersebut.

Menurutnya, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam melakukan perkara betul apabila meminta pemimpin parti berhenti membuat kenyataan terbuka untuk meminta dicalonkan bagi kerusi-kerusi pada PRU14.

Pada PRU13, Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi Sungai Siput, menentang wakil MIC, Datuk Seri SK Devamany dengan majoriti 2,793 undian.

Sungai Siput dengan kira-kira 40,000 pengundi mempunyai sejumlah pengundi berbangsa India yang ramai, iaitu 21%. Kira-kira 39% adalah Cina manakala 33% Melayu.

Jeyakumar mendapat gelaran “Giant Killer” pada 2008 apabila mengalahkan Samy.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14