Aceh akhirnya larang hukuman rotan depan khalayak

BANDA ACEH: Wilayah ultra-konservatif, Aceh tidak lagi mengenakan hukuman sebat di khalayak, sebaliknya hanya di penjara serta melarang sebarang imej hukuman direkodkan, kata ketua pemerintah wilayah itu semalam.

Aceh satu-satunya wilayah majoriti Islam di Indonesia yang mengamalkan undang-undang Islam dan mengenakan hukuman rotan bagi jenayah seperti kecurian, perjudian dan perzinaan. Pada 2014, wilayah itu melarang aktiviti homoseksual.

Langkah menyekat akses itu setahun selepas rakaman 2 lelaki disabit kesalahan melakukan seks sesama jenis disiarkan dan dimuat naik ke internet dan mengundang kritikan antarabangsa.

“Banduan dihukum sekali tetapi jika ia dirakamkan dalam bentuk video dan dimuat naik ke YouTube, dia dihukum seumur hidup oleh imej-imej itu,” kata Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf, yang akan mengeluarkan perintah mengubah peraturan tersebut.

Beliau menambah hukuman sebat akan dijalankan di dalam penjara dan orang ramai serta media dibenarkan untuk menyaksikannya tetapi tidak boleh merakan imej atau video hukuman. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan menyaksikan hukuman tersebut.

“Bayangkan jika kanak-kanak menyaksikan hukuman itu dan adanya tepukan…Adakah itu yang dimaksudkan dengan undang-undang Islam?” tambahnya.

Hukuman rotan diperkenalkan di Aceh pada 2005 dan disokong kebanyakan rakyat Aceh. Beberapa ahli majlis perundangan wilayah tidak bersetuju dengan perintah gabenor, yang tidak memerlukan kelulusan dewan.

“Sesuatu seperti ini perlu dilakukan secara perundingan dengan majlis, jika tidak, ia tidak berperlembagaan,” kata speaker dewan, Muharuddin.

Penduduk Aceh serbu salon, tangkap pasangan gay