Kerajaan jamin harga 5 keperluan asas tidak naik selagi BN mentadbir, kata menteri

PADANG TERAP: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan harga barangan 5 keperluan asas tidak akan dinaikkan selagi BN terus mentadbir negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, 5 barangan tersebut ialah beras, tepung, gas memasak, minyak masak dan gula yang merupakan keperluan asas digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri memberitahu bahawa harga barang ini tidak boleh dinaikkan kerana ini untuk kepentingan rakyat,” katanya selepas program Jualan Sentuhan Rakyat (JSR) di Felda Lubuk Merbau hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu beliau berkata JSR, satu inisiatif yang membantu rakyat menangani kos sara hidup dianjurkan pihaknya, sudah berjaya memberi manfaat kepada 4 juta rakyat.

Setakat ini, pihaknya sudah menganjurkan 700 program JSR sejak 2 bulan lepas membabitkan nilai jualan sebanyak RM35 juta, katanya.

“Program ini mampu membantu rakyat kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran dan akan diteruskan selepas ini sekiranya kita masih menjadi kerajaan,” katanya.

Hamzah berkata, program tersebut dirancang sejak 2 tahun lepas dan menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penganjurannya bertujuan memancing undi.

“Saya baru jadi menteri 2 tahun, jadi program ini makan masa (perancangan) kerana kita nak tentukan barangan ini mencukupi, kita tidak mahu bila buat sesuatu (program) barangan tidak cukup nanti rakyat cakap kita buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Antara barangan dijual ialah pek milo pada harga RM10 berbanding RM16 di pasaran, daging lembu yang dijual RM10 sekilogram (RM25 sekilogram di pasaran) dan beras RM10 bagi 10 kilogram (RM26 di pasaran) selain bawang, minyak masak dan gula yang masing-masing dijual pada harga RM1 sekilogram.