3 ditahan berhubung kes bunuh di Gerik

IPOH: Polis menahan 3 suspek termasuk bekas isteri mangsa yang terlibat dalam kejadian kes bunuh seorang lelaki di Gerik, pada 7 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, SAC Yahya Abdul Rahman berkata kesemua suspek antara 35 dan 41 tahun itu ditahan secara berasingan pada 10 April di sekitar kawasan Gerik.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian bunuh itu dipercayai berlaku akibat perebutan wanita antara seorang daripada suspek dengan mangsa.

“Pada 15 April, suspek lelaki 41 tahun serta wanita berumur 38 tahun yang juga merupakan bekas isteri mangsa telah menjelaskan situasi sebenarnya yang berlaku kepada polis semasa soal siasat.

“… Ini kemudiannya membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Colts Convenent yang digunakan untuk menembak mangsa disimpan di rumah ibu suspek lelaki berkenaan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Mengulas lanjut, Yahya berkata selain pistol polis turut merampas 35 butir peluru jenis. 45 yang disimpan di rumah ibu suspek terbabit.

Katanya kertas siasatan kes tersebut akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri untuk arahan lanjut.

Kesemua mangsa kini ditahan reman 7 hari mulai 11 hingga 17 April dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 8 April lepas, Yahya mengesahkan mayat lelaki 38 tahun lengkap berpakaian ditemukan dengan kesan tembakan di bahagian kepala, dada dan perut di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, Gerik, kira-kira 130km dari sini.