Mahkamah tolak rayuan terakhir peneroka Gatco

Peguam, R Kenghadharan memberitahu peneroka Gatco mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran mereka.

PUTRAJAYA: Perjuangan 6 tahun bagi 140 bekas peneroka Kampung Gatco di Negeri Sembilan untuk mendapatkan tanah mereka, berakhir.

Ini kerana Mahkamah Persekutuan enggan mendengar merit aduan mereka hari ini.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif berkata soalan perundangan yang dikemukakan tidak memenuhi keperluan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Ini bermakna soalan yang dikemukakan tidak dibangkitkan buat pertama kali dan bukan kepentingan awam.

Raus bersama Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali berkata, aduan yang terus ditolak hakim Mahkamah Tinggi itu tiada merit.

“Satu kes boleh ditolak selepas perbicaraan penuh atau tanpa perbicaraan. Dalam kes ini, hakim berhak membuat keputusan terus tanpa mendengar pihak berkaitan,” katanya.

Raus berkata, peneroka itu tidak boleh berhujah mereka mempunyai hak ke atas tanah yang dipertikaikan itu kerana kerana isu itu sudah diputuskan.

Mahkamah turut memerintah peneroka itu membayar RM10,000 masing-masing kepada 2 penyelesai – K Jayapalasingam dan Yong Yoon Shing – Thamarai Holdings Sdn Bhd.

Peguam, R Kenghadharan memberitahu wartawan beliau diarahkan peneroka untuk memfailkan tuntutan baharu.

Tahun lalu, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara menolak rayuan peneroka itu.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan peneroka itu berdasarkan soalan perundangan. Tiada perbicaraan dijalankan.

Peneroka itu memulakan tuntutan mereka pada 2012 dengan menyaman 2 penyelesai dan Thamarai Holdings berhubung tanah itu.

Dalam tuntutan mereka, peneroka itu meminta ganti rugi dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah ke atas jualan 4,600 ekar hartanah di Bahau pada harga RM16 juta pada 2004.

Penilai kerajaan dan swasta menganggarkan hartanah itu kini bernilai RM500 juta.

Isu itu turut mendapat perhatian apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan beberapa individu, termasuk 2 beradik bergelar “Datuk”.

Mereka juga adalah ketua eksekutif 2 syarikat dalam kumpulan perniagaan keluarga yang dikaitkan dengan perjanjian tanah itu.

Seorang bekas pegawai bank dan seorang penyelesai yang mempunyai pengetahuan terperinci tentang perjanjian itu, turut ditahan.

Tanah itu dipajak pada 1977 oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) kepada syarikat Great Alonioners Trading Corporation Bhd (Gatco).

Tanah itu kemudiannya dilaporkan diubah oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang memiliki gatco kepada skim tanah untuk ahlinya, di mana masing-masing membayar RM7,600 sebagai deposit sebelum bekerja di tanah itu.

Skim itu bagaimanapun gagal dan Gatco terpaksa membuat pinjaman daripada 2 syarikat kewangan.

Gatco diisytiharkan muflis pada 1996 dan Thamarai membeli tanah itu pada 2006, selepas menjalani proses penyelesaian, tindakan yang kemudian dicabar peneroka.