Napsiah Omar meninggal dunia

SEREMBAN: Pengerusi Tetap Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar meninggal dunia pada 6.10 petang tadi akibat barah hati.

Beliau berusia 74 tahun.

Semasa mengesahkan perkara itu, saudara terdekat beliau Datuk Yahya Hamid berkata beliau meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya di Kuala Lumpur.

“Jenazah masih berada di Ampang Jaya dan dijangka dibawa pulang ke Kuala Pilah malam ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau memberitahu, jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Melang, Kuala Pilah sebelum solat Zohor esok.

Beliau meninggalkan 4 anak iaitu seorang lelaki dan 3 perempuan.

Napsiah pernah menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 1982, menteri perusahaan awam (1987), menteri perpaduan negara dan pembangunan sosial (1990) serta exco Negeri Sembilan (1995-1999).

Beliau menyertai Umno cawangan Kuala Pilah pada 1972 sebelum menjadi ahli Parlimen Kuala Pilah selama 3 penggal sejak 1982.

Beliau kemudian menjadi Adun Pilah selama penggal selepas menewaskan Ruslan Kassim daripada PKR dengan majoriti 2,818 undi pada pilihan raya umum ke-10 pada 1999.