PPBM fail permohonan baru cabar JPPM

KUALA LUMPUR: PPBM memfailkan permohonan baharu terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung parti itu selama sebulan atas dakwaan melanggar Akta Pertubuhan dengan tidak memberikan dokumen dikehendaki dalam tempoh ditetapkan.

Dalam satu semakan kehakiman yang difailkan Jumaat lalu, parti pembangkang itu memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan JPPM pada 5 April lalu, dengan mendakwa ia menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.

PPBM turut memohon injunksi mahkamah untuk menghalang JPPM daripada mengambil tindakan lanjut membatalkan pendaftaran parti berkenaan sepenuhnya.

Parti itu juga mahu JPPM memberi jawapan mengenai peruntukan yang dilanggar mereka sehingga menyebabkan PPBM digantung sebulan.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh mengesahkan afidavit untuk permohonan semakan kehakiman itu.

Beliau berkata, keputusan Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim menggantung parti itu selama sebulan dibuat dengan niat jahat.

“JPPM tidak menyerahkan notis 30 hari itu kepada pemegang jawatan PPBM seperti dikehendaki di bawah undang-undang.”

Peguam PPBM, Rosli Dahlan berkata parti itu turut memfailkan sijil kesegeraan atau “certificate of urgency” supaya kes itu didengar secepat mungkin.

Pada 5 April lalu, JPPM mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman PPBM bagi mencabar keputusan JPPM membubarkan parti itu buat sementara.

Hakim, Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan kebenaran difailkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu atas alasan arahan pembubaran sementara yang dibuat JPPM di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, bersifat akademik.

Mahkamah itu memberitahu PPBM, ia patut mencabar JPPM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan yang memerintahkan pembubaran sementara parti itu selama 30 hari.

Selain PPBM, PH turut terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. Empat parti itu memutuskan untuk bertanding di bawah logo PKR di Semenanjung Malaysia kerana JPPM enggan meneruskan pendaftaran PH dengan menyatakan masalah dihadapi PPBM dan DAP.