Mais haramkan sebarang elemen kempen PRU di masjid, surau

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengingatkan parti politik tidak menjadikan masjid dan surau tempat berkempen sempena pilihan raya umum, dalam surat kepada semua ahli jawatankuasa masjid dan surau seluruh Selangor berkuatkuasa 7 April 2017.

Dalam surat berkenaan, Setiausaha Mais Datuk Bakhtiar Hussin berkata jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan sebarang bentuk ceramah, tazkirah atau penerangan tidak mengandungi elemen kempen parti politik.

“Selaras dengan hasrat Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta titah dari Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri, maka semua jawatankuasa khariah masjid dan jawatan kuasa surau hendaklah mengambil perhatian.

“Memastikan masjid dan surat sebagai pusat ibadah, pusat ilmu, pusat penyatuan ummah, zon aman dan bebas politik dan bebas kepartian sebagaimana dinyatakan di dalam Peraturan 18(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-peratuan Masjid dan Surau Selangor 2017.

“Melarang sama sekali bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan yang mengandungi elemen kempen bagi parti-parti politik tertentu di dalam dewan solat utama atau di dalam kawasan masjid atau surau seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 70(2)(c) dan (e),” katanya.

Mais juga tidak membenarkan mana-mana parti politik meletakkan bendera atau poster calon untuk meraih undi di kawasan masjid dan surau termasuk di pagar.

“Memastikan surau dan masjid tidak dijadikan tempat kegiatan politik dan tempat yang boleh memecahbelahkan ahli kariah seperti kehendak Peraturan 80(2) Peraturan-paraturan Majlis dan Surau Selangor 2017.

“Melarang sama sekali bangunan utama serta kawasan masjid atau surau termasuk pagar masjid dari digantung atau dipacak mana-mana bendera parti politik yang bertanding dalam pilihanraya,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 28 April dan hari mengundi pada 9 Mei.