DAP umum tanding 8 DUN, 1 Parlimen di Melaka

Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai turut umumkan seorang calon Melayu, Norhizam Hassan Baktee, dan seorang calon India, G Saminatan. (Gambar Twitter)

MELAKA: DAP bakal bertanding di 1 kerusi parlimen dan 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai.

Pada majlis makan malam dan ceramah DAP Melaka di Jalan Kubu malam ini, Tan mengumumkan seorang calon Melayu iaitu Timbalan Pengerusi DAP Melaka Norhizam Hassan Baktee bertanding di DUN Pengkalan Batu.

Tan turut mengumumkan seorang calon India iaitu Naib Pengerusi DAP Melaka G Saminatan bakal bertanding di DUN Gadek.

Sementara itu, kerusi Parlimen Kota Melaka akan ditandingi Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong dan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew kekal bertanding di DUN Bandar Hilir.

DUN Kesidang akan ditandingi Setiausaha Organisasi DAP Melaka Seah Shoo Chin, DUN Kota Laksamana (Bendahari DAP Melaka Low Chee Leong), DUN Ayer Keroh (Kerk Chee Yee yang juga setiausaha politik pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang).

DUN Duyong (Ahli Jawatankuasa DAP Melaka Damian Yeo Shen Li), dan DUN Bemban ditandingi Pengerusi DAP Cawangan Bukit Palah, Dr Wong Fort Pin.

Khoo merupakan penyandang kerusi DUN Ayer Keroh dan Tey penyandang kerusi DUN Bandar Hilir, manakala 7 lagi calon muka baru.

Pada Februari tahun lepas, 4 pemimpin DAP Melaka bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan DAP iaitu 3 Adun, Lim Jak Wong (Bachang kini Pengkalan Batu), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.

Keempat-empat mereka mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU kali ini.