Kes Kementerian Belia dan Sukan: Bekas pegawai ubah suai banglo lebih RM1.5 juta

SPRM berkata invois pengubahsuaian dan naik taraf banglo dikeluarkan atas nama Othman Arshad.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen, bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada membuat pengubahsuaian dan menaik taraf banglo di Kajang berjumlah RM1,551,862.70.

Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Asmawi A/L Kulup Lam berkata maklumat berkenaan diperoleh daripada invois dikemukakan di mahkamah sebagai barang bukti pada perbicaraan bekas setiausaha bahagian kewangan Otman Arshad.

Beliau berkata invois pengubahsuaian dan menaik taraf banglo itu dikeluarkan atas nama Otman yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.

“Maklumat dalam invois itu dicatatkan, RM1,428,850 dibayar untuk kerja pengubahsuaian dan menaik taraf sebuah banglo, manakala RM123,012.70 tercatat sebagai baki jumlah belum dibayar,” katanya pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya SPRM Norzilati Izhani Zainal pada perbicaraan kes itu.

Asmawi, 37, yang merupakan saksi pendakwaan ke-49 juga mengemukakan 8 buku pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Bumiputera 2 milik Otman, Mastura Annuar (isteri Otman) dan 2 anak mereka yang kesemuanya berjumlah RM2,133,434.55.

“Pihak kami juga turut menyita buku simpanan Lembaga Tabung Haji dan Bank Simpanan Nasional Giro milik Otman yang keseluruhannya berjumlah RM127,302.44,” katanya yang juga mengemukakan 6 pasang kain pelbagai warna berjenama ”Regal”.

Asmawi turut mengemukakan salinan resit bayaran insurans kereta Volkswagen Golf GTI bernombor pendaftaran WXA92 atas nama Abdul Ghafar Abdurahiman (tertuduh ke-3) yang dibayar untuk 2014 dan 2016 iaitu RM3,614.66 dan RM3,280.59.

Beliau turut mengemukakan pelbagai resit bagi bayaran kerja penyelenggaraan dan pembelian aksesori kereta berjumlah lebih RM23,000, bagi kenderaan dengan nombor pendaftaran yang sama namun semua resit itu dikeluarkan atas nama anak Otman.

“Dikemukakan resit bagi pembelian sebentuk cincin jenama Cartier berharga RM268,000 dikeluarkan atas nama Mastura,” katanya.

Turut dikemukakan 6 buku cek Maybank dikeluarkan kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd serta bukti pembelian tiket penerbangan Otman bersama isteri dan 2 anaknya ke Melbourne pada 23 Februari hingga 15 Mac 2015 berharga RM1,849 setiap orang.

Pada 21 April 2016, Otman, 59, yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang RM16,623,000 hasil aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan bawah KBS, Abdul Gafar, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank 3 syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 14 hingga 17 Mei.