Liow: Pelepasan GST bagi ECRL berfaedah untuk rakyat

Menteri Liow Tiong Lai berkata rakyat perlu membayar harga lebih mahal jika GST dikenakan kepada kontraktor ECRL.

BENTONG: Pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada China Communications Construction Company (CCCC), kontraktor Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan memanfaatkan rakyat pada akhirnya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau juga menyifatkan perkara itu ”logik” memandangkan kerajaan sebagai pemilik projek sudah tentu mahu mengurangkan kos dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam pelaksanaan sesuatu projek.

“Jika mengenakan GST, kerajaan juga perlu membayar harga lebih tinggi dan akhirnya pengguna terpaksa membayar harga tiket lebih mahal. Oleh itu, untuk memastikan rakyat menerima manfaat daripada ECRL, pengecualian GST diberikan.

“Perkara ini (pelepasan GST kepada CCCC) dimainkan oleh orang yang cuba memperlekehkan dan memanipulasi isu sedangkan jelas perkara penting adalah ia akan meringankan kos untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat perkembangan pelaksanaan projek ECRL hari ini.

Pelepasan CCCC daripada membayar GST menjadi tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu selepas seorang pemimpin pembangkang memuat naik sijil pelepasan cukai itu ke dalam akuan media sosial miliknya.

Dalam perkembangan lain, Liow memohon kerajaan negeri Selangor dapat memulakan kerja pengambilan tanah bagi pelaksanaan laluan projek berimpak tinggi itu yang akan menghubungkan Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Saya berharap mereka (kerajaan Selangor) dapat mempercepatkan proses ini kerana dibimbangi kelewatan mereka menjejaskan tempoh siap projek ini sedangkan ia projek penting untuk manfaat masyarakat,” katanya.

Projek ECRL yang melibatkan laluan sepanjang 688km dengan 28 stesen dan bernilai RM55 bilion itu dijadualkan siap pada Jun 2024.

Liow menambah, kerajaan Pahang, Terengganu dan Kelantan memberikan kerjasama baik dan sudah memulakan proses pengambilan tanah untuk laluan kereta api tersebut.

Beliau juga menafikan syarikat tempatan tidak diberikan peluang dalam pelaksanaan ECRL kerana lebih 27 syarikat perunding tempatan dipilih terlibat dalam pelaksanaan projek itu di Bentong.

“Pihak terlibat juga akan mengadakan sesi temu duga untuk mengisi kekosongan jawatan di Bentong pada tarikh yang akan ditentukan kemudian. Saya sendiri berharap lebih ramai penduduk daerah ini khususnya golongan belia merebut peluang yang ditawarkan.

“Semua dakwaan mengatakan ini projek kepada kerajaan China yang menutup peluang kerja rakyat tempatan dan menggadaikan kedaulatan negara adalah kenyataan tidak benar sama sekali,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerja pelaksanaan projek itu, Liow berkata beliau berpuas hati dengan garis masa pelaksanaannya dengan mesin untuk kerja mengorek tanah bagi pembinaan terowong sepanjang 16.3km yang menghubungkan Bentong dan Gombak dijangka tiba pada November depan.

Katanya, kerja mengorek terowong itu boleh bermula pada akhir tahun ini dan dijangka memerlukan masa selama tiga tahun untuk disiapkan.