Ramai orang tinggalkan BN? Berita palsu, kata TKM Sabah

Yahya Hussin (tengah) menyerahkan anugerah kepada pelajar cemerlang di sebuah sekolah.

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin menepis laporan-laporan palsu mengatakan “ramai” ahli BN menyertai pembangkang menjelang pilihan raya.

Hanya sebilangan kecil meninggalkan BN untuk menyertai pembangkang, katanya hari ini.

“Sedikit sahaja meninggalkan parti, bukan beribu. Ini perkara biasa kerana mereka mahu jadi calon tapi pergi apabila tidak terpilih,” kata Yahya kepada pemberita selepas menghadiri majlis anugerah di sini.

“Ini desas-desus yang dikitar semula. Inilah tumpuan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang menangani berita-berita palsu.

“Saya terkejut bila terbaca cerita-cerita itu kerana ada antaranya dikitar semula dari cerita 10 tahun lalu. Kita boleh tahu perbezaan antara berita benar dan palsu. Kita semua terpelajar dan boleh membaca. Kita harus selidik bacaan kita daripada terus mempercayai berita-berita palsu seperti itu.”

Ketika pemimpin BN menepis laporan itu, pembangkang bertegas kemasukan ahli-ahli baharu itu kerana mereka mahukan perubahan positif, bukan sahaja dalam parti tetapi juga dalam tadbir urus negeri.

Yahya berkata BN yakin akan memenangi negeri itu kerana kerajaan dan parti komponen sentiasa bekerja keras.

“BN sudah melakukan banyak perkara baik untuk rakyat, seperti mengurangkan kemiskinan kepada 2% sahaja,” kata Adun Petagas itu.

“Kita juga menaikkan gaji penjawat awam kerana kita mentadbir negara dan negeri dengan baik.

“Sekarang kita membaiki sekolah-sekolah dan memberi penekanan pada pendidikan anak-anak kerana pelaburan terbaik kita adalah anak-anak kita. Mereka pemimpin masa depan. Sebab itu kita ada program yang memandang ke depan seperti Transformasi Nasional 2050.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14