Adaptasi genetik pertama ditemui pada masyarakat Bajau Laut

Orang Bajau Laut mungkin telah mengevolusi saiz limpa mereka untuk selaman yang lama dan kerap. (Gambar AFP)

TAMPA: Penyelidik menemui bukti pertama manusia boleh beradaptasi secara genetik kepada penyelaman dalam, seperti ditunjukkan saiz limpa yang luar biasa besar dalam kalangan masyarakat Bajau Laut di Indonesia, menurut kajian.

Masyarakat penombak haiwan laut ini selalunya menyelam tanpa peralatan pernafasan ke kedalaman sehingga 70m, hanya dengan pemberat dan topeng kayu.

Mereka menghabiskan hingga 60% masa kerja harian menangkap ikan, menombak sotong dan mengumpul ketam dan udang – jumlah masa yang hanya disaingi oleh memerang laut.

Mereka boleh menyelam sehingga 13 minit pada satu-satu masa, menurut laporan yang disiarkan dalam jurnal Cell.

Tertarik dengan kebolehan luar biasa itu, penyelidik Amerika Syarikat, Melissa Ilardo, yang pada waktu itu merupakan calon pascaijazah kedoktoran di Pusat GeoGenetics di Universiti Copenhagen, tertanya sama ada berlaku adaptasi genetik dalam kalangan masyarakat itu yang membolehkan mereka menyelam lebih lama berbanding orang lain.

Beliau tinggal beberapa bulan di Jaya Bakti, Indonesia dan, dengan bantuan seorang penterjemah, Melissa mendekati orang Bajau Laut dan satu kumpulan lain yng tinggal berhampiran tetapi tidak menjalankan aktiviti menyelam, iaitu masyarakat Saluan.

“Saya habiskan semua masa lawatan pertama ke situ untuk memperkenalkan diri, projek ini dan kepentingan sains di belakangnya,” katanya.

“Saya mahu pastikan mereka benar-benar faham tujuan saya dan mereka pula dapat memandu projek itu bagi mencerminkan kepentingan mereka sendiri. Mereka sangat ingin tahu dan teruja dengan projek tersebut.”

Sebelum lawatan kali kedua, Melissa belajar bahasa Indonesia bagi membolehkannya berkomunikasi secara langsung dengan orang Bajau.

Imbasan dan ujian gen

Beliau mengambil sampel genetik dan membuat imbasan ultrabunyi, yang menunjukkan orang Bajau Laut mempunyai saiz limpa 50% lebih besar berbanding orang Saluan.

Limpa penting semasa menyelam – sesetengah anjing laut juga memiliki limpa lebih besar – kerana ia melepaskan oksigen ke dalam darah ketika tubuh berada dalam keadaan tertekan, atau ketika seseorang menahan nafas dalam air.

Saiz limpa orang Bajau Laut lebih besar sama ada mereka penyelam lazim atau sebaliknya. Analisis berikutnya ke atas DNA mereka menjelaskan kenapa.

Dengan membandingkan genom orang Bajau Laut dengan 2 populasi lain, iaitu orang Saluan dan Cina, saintis menemui 25 titik yang jelas berbeza.

Antaranya titik di atas gene yang dikenali sebagai PDE 10A, yang dipastikan berkait dengan saiz limpa orang Bajau yang lebih besar.

Dalam sampel tikus,”PDE10 diketahui berperanan melaraskan hormon tiroid yang mengawal saiz limpa, dan ini menyokong idea bahawa orang Bajau Laut mungkin telah mengevolusi saiz limpa mereka untuk selaman yang lama dan kerap,” menurut kajian itu.

Lebih banyak kajian diperlukan bagi memahami bagaimana hormon tiroid memberi kesan ke atas saiz limpa.

Dapatan ini boleh menggalakkan kajian dalam bidang perubatan dengan membantu penyelidik memahami bagaimana tubuh bertindak balas terhadap kekurangan oksigen dalam pelbagai konteks, daripada menyelam kepada pendakian altitud-tinggi dan pembedahan serta penyakit berkaitan paru-paru.

“Ini menunjukkan betapa berharga dan pentingnya masyarakat orang asal di seluruh dunia yang menjalani cara hidup yang ekstrem,” kata pengarang bersama, Eske Willerslev, profesor di Universiti Copenhagen.

Willerslev mengaku beliau pada mulanya tidak menggalakkan Melissa melakukan kajian itu untuk tesis PhD beliau kerana percaya ia terlalu berisiko dan beliau tidak akan menemui apa-apa.

“Beliau bertegas mahu melakukannya dan ia berbaloi. Melissa betul, dan kebimbangan kami silap.”

Melissa sedar tentang risiko dihadapi tetapi “sangat yakin tentang projek ini”, dan mahu meneruskannya.

“Orang Bajau Laut dan kumpulan nomad laut lain sangat luar biasa dan saya mahu membuktikannya kepada dunia,” katanya yang kini merupakan pakar pascakedoktoran Institut Kesihatan Kebangsaan AS (NIH) di Jabatan Perubatan Molekular di Universiti Utah.