Bagan Datuk bakal saksikan pertarungan 4 penjuru

Setakat ini, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Gagasan Sejahtera, dan seorang calon bebas, bakal bertanding di kerusi itu.

BAGAN DATUK: Persaingan merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada Barisan Nasional (BN) dijangka sengit apabila menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya 4 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Sehingga kini, calon bebas iaitu Raja Bomoh atau nama sebenarnya Datuk Ibrahim Mat Zin, 68, mengumumkan hasratnya bertanding di Parlimen itu dalam satu sidang media di Ipoh, 17 April lalu.

Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu akan bertanding di tempat kelahirannya bagi menunaikan hasrat penyokongnya 10 tahun lalu untuk menjadi wakil rakyat sekali gus membela nasib rakyat.

Pihak Pakatan Harapan sudah mengesahkan akan bertanding di Bagan Datuk yang akan diwakili calon PKR yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera pula mengumumkan ketua penerangan PAS di Bagan Datuk, Ata Abdul Muneim Hasan Adli sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Gagasan Sejahtera ialah gabungan parti pembangkang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga kini, BN masih belum mengumumkan calon di kawasan itu yang disandang Ahmad Zahid selaku timbalan perdana menteri yang menang dengan majoriti 2,108 undi pada pertemuan 1 lawan 1 pada PRU13. Beliau mendapat 17,176 undi menewaskan calon PKR Mahdi Hasan 15,068 undi.

Ahmad Zahid sudah 5 penggal menjadi ahli Parlimen Bagan Datuk sejak memenangi kerusi itu pada 1995.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.