Beri kami peluang ke-2 di Wangsa Maju, kata Umno

Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Shafei Abdullah mahu diberikan peluang ke-2 untuk memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju bagi Barisan Nasional. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah mahu menjadi calon Barisan Nasional (BN) sekali lagi di kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Shafei kalah di tangan calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong pada PRU13 dengan majoriti 5,511 undi, tetapi mahu diberikan satu lagi peluang bertanding di situ kali ini.

Beliau berharap kepimpinan BN akan membenarkan Umno bertanding sekali lagi, walaupun ada cakap-cakap mengatakan kerusi itu akan dikembalikan kepada MCA.

Pada 2004, calon MCA, Datuk Yew Teong Look yang mewakili BN menang di Wangsa Maju, tetapi gagal mempertahankannya pada 2008.

“Jika anda tanya saya, sudah tentu saya mahu BN berikan kerusi itu kepada kami,” katanya kepada FMT sambil menambah beliau gembira sekiranya Umno diberikan kerusi itu pada PRU14.

Shafei turut membangkitkan dakwaan boikot oleh MCA pada PRU13, apabila kerusi itu diberikan kepada Umno.

“MCA dikatakan membelakangkan kehendak BN dengan menutup bilik gerakan mereka dan mengugut untuk memboikot PRU.

“Ini sebabnya saya rasa Umno perlu diberikan kerusi Wangsa Maju sekali lagi. Bagaimanapun, ia terpulang kepada kepimpinan BN untuk tentukannya.”

Baru-baru ini, Yew yang juga ketua MCA Bahagian Wangsa Maju memberitahu FMT, BN tidak patut mengetepikan parti itu hanya kerana ugutan sekumpulan kecil pengundi Cina akan menyokong pembangkang, jika MCA diberikan kerusi Parlimen itu.

Katanya, MCA mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana BN belum mengumumkan calon di Wangsa Maju, tetapi parti itu sudah bersiap sedia sepenuhnya jika dicalonkan di kawasan berkenaan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

MCA tak patut diketepikan di Wangsa Maju kerana ugutan pengundi Cina