Cacing dalam tin sardin, Kementerian Kesihatan arah produk ditarik balik

Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap syarikat pengimport produk itu yang diarah menarik balik produk setelah didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan 2 produk sardin dalam tin dari China, Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC, ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan penguatkuasaan diambil terhadap syarikat pengimport produk itu yang diarah menarik balik produk setelah didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan makerel dalam tin.

“Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co Ltd dari China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi benda asing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementerian mengambil maklum laporan yang tular di laman media sosial berkaitan cacing mati ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.

“Laporan tersebut menyatakan, pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan 3 pengimport produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China,” katanya.

Beliau berkata KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan makerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran.

“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan mengenai isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.