Ikatan tak lawan Dr M di Langkawi, kata Kadir

Kadir Sheikh Fadzir berkata, beliau tidak akan bertanding pada PRU14.

PETALING JAYA: Bekas menteri yang kini menjadi sekutu PAS, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, parti pimpinannya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi, selepas parti Islam itu semalam membayangkan ia akan menurunkan calon dari Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang menganggotai Gagasan Sejahtera.

Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanding di Langkawi atas tiket PKR, dan kemungkinan besar menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Datuk Nawawi Ahmad yang menang dengan kelebihan 11,861 undi pada 2013.

“Kami sudah beritahu pucuk pimpinan PAS di Kuala Lumpur dengan tegas beberapa minggu lalu yang kami tidak akan bertanding di Langkawi kerana kami belum bersedia lagi,” kata Kadir yang mengetuai Ikatan dan kini bersama Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai Berjasa dan Parti Cinta Malaysia.

Katanya, Ikatan menyasarkan 2 kerusi di Selangor, tetapi enggan menamakan kerusi itu.

Bekas ahli Parlimen yang pernah mewakili Kulim-Bandar Baharu selama 7 penggal itu dan memegang jawatan dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir serta penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, turut memberitahu FMT beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14