Isnin keputusan PPBM cabar JPPM

Peguam PPBM Rosli Dahlan mempertikaikan hujah JPPM mengatakan parti itu tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan pada masa yang ditetapkan.

KUALA LUMPUR: PPBM akan mengetahui sama ada mereka dibenarkan untuk mencabar perintah pembubaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Isnin.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan tentang permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh PPBM terhadap perintah itu atas alasan JPPM menyalahgunakan undang-undang.

Peguam mewakili PPBM dan kerajaan membentangkan hujah mereka di depan Hakim Datuk Azizah Nawawi di kamar hari ini.

Rosli Dahlan, mewakili PPBM, berhujah JPPM menyalahgunakan undang-undang apabila mengenakan pembubaran dalam tempoh 30 hari ke atas parti itu, menyebabkan parti itu berisiko tersingkir.

Beliau mempertikaikan hujah JPPM bahawa parti itu tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan pada masa yang ditetapkan.

Pembubaran sementara itu menyebabkan PPBM tidak dapat bertanding secara rasmi pada pilihan raya umum 9 Mei ini, dan calon parti itu akan bertanding atas tiket PKR, begitu juga parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.

Peguam JPPM Shamsul Bolhassan JPPM, berkata PPBM sepatutnya membuat rayuan kepada menteri dalam negeri.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili JPPM, berkata PPBM sepatutnya membuat rayuan kepada menteri dalam negeri (JPPM terletak bawah pengawasannya).

Permohonan PPBM ini merupakan tindakan kedua yang diambil parti itu. Minggu lepas, Mahkamah Tinggi mengugurkan permohonan parti untuk menterbalikkan perintah JPPM.

Hakim Kamaludin Md Said berkata permohonan semakan kehakiman ke atas pembatalan pendaftaran sementara itu sudah menjadi akademik, dan PPBM sepatutnya mencabar JPPM berkenaan perintah Seksyen 14(5).

Sekarang parti itu mahu membatalkan keputusan JPPM atas alasan jabatan itu menyalahgunakan Seksyen 14(5). Ia juga memohon injunksi menghalang JPPM daripada mengambil tindakan susulan untuk membatalkan pendaftaran PPBM dan memaksa JPPM menyatakan peruntukan-peruntukan akta yang dilanggar hingga perlu digantung selama 1 bulan.