Mahkamah tolak permohonan 107 pengundi cabar SPR

Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya akan mengkaji langkah untuk mencabar laporan persempadanan semula oleh SPR.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan 107 pengundi untuk mengadakan inkuiri tempatan berhubung laporan persempadanan semula.

Hakim, Datuk Azimah Omar berkata 107 pengundi itu tidak terjejas dengan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tiada locus standi untuk mencabarnya.

“Kumpulan 107 pengundi ini tidak berada dalam kawasan yang dipersoalkan itu,” katanya membacakan penghakimannya hari ini.

Pada 20 Mac lalu, sekumpulan pengundi yang diketuai bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan SPR menjalankan inkuiri tempatan berhubung bantahan terhadap proses persempadanan semula.

Mereka juga mahu mendapatkan pengisytiharan terhadap keputusan SPR yang enggan menjalankan inkuiri tempatan sebagai tidak berperlembagaan.

Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili kumpulan pengundi itu berkata, pihaknya akan mengkaji langkah untuk mencabar laporan persempadanan semula oleh SPR.

“Mahkamah memutuskan mereka tidak boleh meminta inkuiri tempatan kerana tiada perubahan dalam kawasan pilihan raya mereka. Tetapi, SPR telah mengambil kira pandangan pengundi lain di Petaling Jaya Utara.

“Oleh sebab itu, kita lihat kemungkinan mencabar laporan (persempadanan semula) itu atas dasar mereka (SPR) tidak patut mengambil kira (pandangan pengundi atau bantahan oleh penduduk di Petaling Jaya Utara),” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR, selepas undi belah bahagi dengan 129 ahli Parlimen menyokong dan 80 menolak.

Usul itu diluluskan dalam beberapa jam selepas dibentang dan dibahaskan 7 wakil rakyat dari kedua-dua belah pihak.

Laporan itu diwartakan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong keesokannya.