Najib sedih lihat DAP hina Seng Giaw

Najib berkata jika begini cara DAP melayani orang sendiri, boleh bayangkan bagaimana mereka melayani rakan-rakan ‘sementara’ sekiranya berkuasa.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dalam catatan terbaru beliau di Twitter, memetik artikel akhbar tempatan dan berkata “amat menyedihkan melihat seorang ahli politik veteran dan berprinsip dihina hanya kerana beliau berpegang pada kebenaran”.

Najib menyelar ahli parti pembangkang DAP kerana menggelar pemimpin setia dan veteran DAP Dr Tan Seng Giaw sebagai seorang pengkhianat dan “anjing suruhan”.

“Jika beginilah cara DAP melayani orang mereka sendiri, boleh dibayangkan bagaimana mereka akan melayani rakan-rakan ‘sementara’ mereka sekiranya berkuasa?” soal beliau.

Dalam artikel bertajuk “DAP loyalist branded ‘running dog’ for speaking truth” (pemimpin setia DAP digelar ‘anjing suruhan’ kerana bercakap benar) diterbitkan pada Khamis, Dr Tan turut mempersoalkan rasional dan motif di sebalik tindakan DAP melabelkan beliau sebagai “anjing suruhan” dan pengkhianat parti.

Dilaporkan Dr Tan didakwa tidak disenangi pucuk pimpinan DAP kerana pada 2016, sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, beliau menyatakan tiada bukti untuk mengaitkan Najib dengan isu 1MDB.

Tan juga mengkritik kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP berhubung pengurusan alam sekitar.